Hampir Kesemua Matawang Utama Berada Dalam Kelompok Dagangan Berisiko

686

Pasaran pada hari ini melihatkan dagangan dolar Amerika terus menguasai pasaran walaupun momentum lonjakan harga agak perlahan berbanding kenaikan selepas laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat Jumaat lalu.

Matawang Euro meneruskan penurunan pada sesi pasaran Eropah selepas data jualan runcit di Itali untuk bulan Mei mengejutkan pasaran apabila mencatatkan bacaan yang merosot kepada -0.7% berbanding jangkaan kenaikan 0.2% dari paras sifar pada bacaan bulan sebelumnya.

Penurunan tersebut adalah yang terendah dalam tempoh 5 bulan ekoran kejatuhan pada jualan makanan dan juga bukan-makanan. Susulan data dikeluarkan, dagangan Euro terus mencatatkan penurunan pada carta harga.

Turut mencatatkan penurunan adalah pada dagangan Pound Sterling di mana harga meneruskan penurunan ke paras terbaru sejak dagangan awal Januari lalu.

Bank of England (BOE) dijangka akan mengurangkan kadar faedah berikutan kebimbangan terhadap unjuran ekonomi dan ancaman risiko situasi no-deal Brexit.

Dagangan dolar Kanada juga diniagakan lemah berikutan terkesan oleh ketidakstabilan pada pasaran minyak mentah. Walaupun harga minyak disokong oleh ketegangan konflik yang melanda di Timur Tengah, namun kegelisahan pasaran terhadap ketidakpastian hubungan dagang antara Amerika Syarikat dan China menyebabkan pelabur lebih berhati-hati.

Ketegangan antara dua negara pengguna minyak mentah terbesar dunia itu telah memasuki tempoh tahun yang kedua dan faktor ini menimbulkan kerisauan pasaran dengan harapan perselisihan dapat diselesaikan segera.

Turut menyertai kelompok dagangan yang merosot adalah dolar Australia selepas data keyakinan perniagaan tinjauan NAB untuk Jun menerbitkan angka yang lebih rendah berbanding bulan Mei.

Dengan dikaitkan dengan jangkaan pelonggaran polisi oleh Federal Reserve dan bank pusat Australia, dagangan dolar New Zealand (NZD) turut dijangka terkesan dan bakal mengalami penurunan dalam tempoh dagangan yang terdekat ini di samping data keyakinan perniagaan di New Zealand yang turut lemah.

Dengan kelemahan pada dagangan matawang utama yang lain, akan lebih membuka laluan untuk USD terus mengukuhkan nilai dagangannya dan mendominasi pasaran.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat