Harga Emas Melonjak Lagi, Paras Harga $1,700 Jadi Sasaran?

534

Harga emas melonjak menghampiri paras harga $1,700 per auns, disokong oleh pengumuman Federal Reserve AS (Fed) yang melancarkan pakej rangsangan besar-besaran untuk menangani impak ekonomi disebabkan pandemik coronavirus.

Pada sesi pasaran Asia hari ini, logam berharga itu melonjak kepada $1,690 sebelum susut untuk diniagakan di sekitar paras harga $1,685, manakala niaga hadapan emas pula meningkat lebih 3% kepada $1,740.60.

Pakej rangsangan yang diumumkan oleh Fed pada Khamis, iaitu bernilai $2.3 trilion itu akan disasarkan untuk pemberian pinjaman kepada kerajaan tempatan dan perniagaan, termasuk program perlindungan gaji.

Pengerusi Fed, Jerome Powell memberitahu bahawa bank pusat akan terus menggunakan kesemua alat instrumen yang sedia ada sehingga ekonomi AS kembali pulih daripada kemusnahan yang disebabkan oleh pandemik tersebut.

Pengumuman itu dibuat susulan penerbitan data tuntutan faedah pengangguran Amerika Syarikat yang masih menunjukkan bacaan tertinggi dengan peningkatan sebanyak 6.6 juta tuntutan pada minggu lepas daripada bacaan yang disemak semula sebanyak 6.8 juta pada minggu sebelumnya.

Kelemahan ini secara tidak langsung telah memberi manfaat kepada dagangan emas untuk mencatat pengukuhan.

Setakat ini, lebih 1.6 juta orang telah dilaporkan dijangkiti virus tersebut manakala angka kematian pula meningkat kepada 95,718 di seluruh dunia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat