Harga Minyak Mentah Global Di Bawah Tekanan, Harga Runcit Petrol Dijangka Turun Esok

74

Pasaran minyak mentah global berhadapan dengan tekanan tinggi dalam sesi New York pada Isnin dengan pedagang komoditi hitam masih menunggu data inventori terbaru dari Amerika Syarikat.

Selepas gagal menembusi harga di $50.00 pada Isnin, minyak WTI (West Texas Intermediate) berhadapan dengan tekanan penjualan sekaligus merekod kejatuhan enam hari berturut-turut.

Secara keseluruhan sentimen pasaran ini masih lagi belum kukuh dan mudah dipengaruhi oleh kenaikan keluaran minyak di US yang masih berhampiran rekod tertinggi pernah dicatatkan.

Data terbaru yang dikeluarkan oleh Baker Hughes juga menunjukkan penambahan pelantar minyak di US untuk 14 minggu berturut-turut yang menambah kebimbangan kenaikan keluaran dari US beberapa bulan akan datang. Kini pelantar di US berjumlah 688 yang tertinggi sejak September 2015.

Pasaran ketika ini akan terus memerhati komen dari pegawai-pegawai OPEC tentang pemotongan bekalan selepas Jun di mana mesyuarat bagi penentuan perkara ini akan berlangsung pada 25 Mei.

Rusia pada Isnin mengatakan keluaran minyak mentah dari negara itu berkemungkinan mencapai paras tertinggi sejak 30 tahun lalu jika pengeluar OPEC dan bukan-OPEC tidak melanjutkan pemotongan bekalan selepas 30 Jun.

Data terbaru oleh API akan dikeluarkan selepas penutupan pasaran New York pada Selasa di mana data EIA pula akan dikeluarkan pukul 10.30 malam pada Rabu. Harga dijangka akan terus menyusut jika stok dari kedua-dua data ini merekod peningkatan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat