Penanda aras niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka akan didagangkan lebih tinggi pada Jun dan Julai pada harga RM2,400 per tan jika Malaysia mengekalkan kadar eksport yang tinggi termasuk pengeksportan ke India.
Walau bagaimanapun, dengan pengeluaran yang memuncak dari Ogos hingga Oktober, harga minyak sawit dijangka akan berlaku penyusutan kepada RM2,200 bagi satu tan.
Jumlah eksport memberangsangkan dari Malaysia ke India positif bagi bulan Mei yang mana menyokong niaga hadapan minyak kelapa sawit mentah bagi tempoh dua minggu.
Bagi bulan Mac, Malaysia hanya mengeksport 10,806 tan minyak kelapa sawit ke India, menjadikan 97% penyusutan dari tahun sebelumnya dan merupakan jumlah bulanan terendah berdasarkan maklumat pada 2000. Ini bermakna bagi tempoh empat bulan pertama 2020, jumlah eksport minyak kelapa sawit turun 25% jika dibandingkan dengan tempoh Januari-April 2019.
Pengeluaran bagi Malaysia pula dijangka akan turun kepada 19 juta tan bagi 2020 dari 19.85 juta tan pada 2019. Manakala bagi pengeluaran minyak kelapa sawit dari Indonesia, kekal tidak berubah dengan 45 juta tan.
Malaysia juga mengenakan diskaun ke atas eksport minyak kelapa sawit walaupun telah dikenakan pengurangan cukai eksport dari 4.5% pada Mei sehingga 0% bagi Jun. Berbeza pula Indonesia, negara itu menaikkan jumlah cukai sebanyak AS$5 kepada AS$55. Secara tidak langsung harga minyak kelapa sawit Malaysia mencatatkan nilai rendah berbanding Indonesia dengan perbezaan AS$10 hingga AS$15.
Manakala perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) masih kelihatan samar. Peneraju Palm Oil Analytic, Dr Sathia Varqa menjelaskan China mungkin tidak lagi mendapatkan bekalan minyak soya dari AS dan beralih kepada Brazil.
Atas faktor Covid19 yang memberi kesan kepada sektor pertanian, China mungkin juga akan beralih kepada Malaysia dan Indonesia bagi bekalan minyak masak kerana penawaran harga yang rendah, dengan Malaysia akan menerima keuntungan lebih.