Harga Minyak Terus Terkesan Oleh Kebimbangan Virus China, Emas Pamer Kenaikan

386

Setelah lebih banyak penerbangan dari negara-negara utama dunia ke bandar China dihentikan ekoran daripada angka kes dan kematian disebabkan jangkitan coronavirus semakin meningkat, harga minyak mentah terus mempamerkan penurunan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent menurun sebanyak 61 sen kepada $58.30 setong manakala WTI Amerika Syarikat pula susut 52 sen kepada $52.81 setong.

Bagaimanapun, harga minyak hari ini dilihat kembali stabil setelah jatuh ke paras terendah tiga bulan pada Isnin disebabkan peningkatan kebimbangan terhadap kesan daripada coronavirus akan menjejaskan aktiviti ekonomi di China, yang juga merupakan pengimport minyak terbesar dunia.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China (NHC) pada hari ini melaporkan jumlah kematian yang disahkan daripada coronavirus setakat ini meningkat kepada 170 manakala angka mangsa yang dijangkiti pula naik kepada lebih 1,700 orang serta 12,167 kes telah dikesan.

Syarikat penerbangan di seluruh dunia termasuk American Airlines, British Airways dan Lufthansa German Airlines telah menangguhkan penerbangan dua hala dari bandar utama China susulan sekatan perjalanan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk mengekang penyebaran virus itu.

Berikutan daripada itu, permintaan terhadap bahan api di Asia mengalami kemerosotan sekali gus mendorong penurunan buat harga minyak.

Selain itu, bekalan minyak mentah yang meningkat melebihi jangkaan pasaran dengan kenaikan sebanyak 3.5 juta tong pada minggu lepas juga mendorong kepada penurunan harga minyak.

Sementara itu, dagangan emas juga mendapat perhatian pasaran susulan kenyataan Pengerusi Federal Reserve A.S (Fed) Jerome Powell menyatakan kebimbangan bank pusat terhadap wabak coronavirus dan berpendapat ia boleh memberi impak kepada ekonomi China dalam jangka pendek.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat