Harga Saham Estee Lauder Melonjak Tinggi

177

Estee Lauder, sebuah syarikat gergasi dalam bidang kosmetik dan penjagaan kulit melaporkan keuntungan yang diperolehi jauh mengatasi jangkaan awal untuk tahun ini sekaligus menyaksikan harga saham bagi syarikat ini melonjak tinggi.

Saham Estee Lauder ditutup tinggi pada harga $201.65, naik sebanyak $22.43. Kenaikan sebanyak 12.52% itu didorong oleh pendapatan sesaham yang naik 5% kepada $0.64 sementara jualan juga naik 9% kepada $3.59 bilion. Jangkaan awal dari penganalisis cuma sekitar $0.53 untuk pendapatan sesaham dan $3.527 bilion untuk jualan.

CEO Estee Lauder, Fabrizio Freda dalam sebuah kenyataan menyebut meskipun berhadapan dengan keadaan pasaran yang tidak menentu serta menghadapi cabaran dalam beberapa pasaran utama, syarikat itu masih dapat bertahan dan memberikan keputusan yang memberangsangkan dalam laporan kewangan mereka.

Beliau juga melihat peningkatan yang perlahan dalam industri kosmetik di AS apabila kedai-kedai yang menjual alat solek serta penjagaan kulit ini tidak lagi menjadi tempat persinggahan bagi pengguna. Mereka lebih gemar untuk membeli secara atas talian yang menawarkan harga lebih murah.

Dalam laporan kewangan yang terkini, Estee Lauder mencatatkan permintaan yang tinggi di kawasan Asia-Pasifik meskipun menghadapi tekanan daripada perang dagangan antara AS-China serta ketegangan politik yang melanda Hong Kong.

Namun begitu, isu Brexit yang menjadi kontroversi mengurangkan keyakinan terhadap pengguna sekaligus menjejaskan jualan di United Kingdom. Situasi ini juga berlaku di bahagian Utara Amerika apabila kedai mereka semakin kurang pelanggan ekoran persekitaran dalam bidang peruncitan yang semakin sukar.

La Mer, salah satu daripada produk penjagaan kulit Estee Lauder menjadi faktor utama dalam peningkatan hasil syarikat. Perkara ini sedikit sebanyak membantu dalam meluaskan lagi pegangan di dalam pasaran produk kecantikan premium. Freda juga menyebut pelaburan di dalam analisis data membantu dari sudut pemasaran secara digital yang menyumbang kepada perolehan suku kedua.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat