Hukum Melabur Saham Dalam Islam

19,533

Bagi yang masih baru dalam pasaran saham, anda mungkin masih keliru dengan status pelaburan saham sama ada ia halal atau haram. Jom belajar untuk tahu saham mana yang patuh syariah dan saham mana yang tidak.

Proses jual beli saham dibolehkan selagi ia memenuhi dua syarat sah jual beli dalam Islam iaitu:

Pertama: Barang yang dijual adalah barang yang mubah (harus) manfaatnya.

Dari sini, barang yang haram pemanfaatannya seperti arak, babi, dan seumpamanya maka tidak boleh diperdagangkan. Justeru, dalam pelaburan saham, jenis-jenis saham yang tidak patuh syariah adalah tidak sah dan tidak halal untuk dijual beli atau dimiliki untuk diurusniagakan.

Di dalam bursa Malaysia terdapat lebih 693 kaunter saham yang patuh syariah (kemaskini setakat 24 Mei 2018) dan boleh dikenalpasti dengan mudah dalam trading platform dengan tanda bulat kecil di hujung nama setiap saham yang tersenarai.

Kedua : Barang dan wang mesti diketahui dengan jelas dan tidak boleh ada gharar (ketidak jelasan) ‘uncertainty’.

Secara mudah, gharar ialah sesuatu yang tidak jelas kepada mana-mana pihak yang berkontrak sama ada dipihak penjual atau pembeli. Umpamanya dalam jual beli kereta terpakai, pembeli tidak diberitahu tentang keadaan sebenar kenderan tersebut. Setelah selesai perjanjian jual beli,gharar dalam objek jual beli itu boleh dijadikan alasan membatalkan kontrak. Ini kerana gharar itu terhasil daripada perbuatan zalim yang disengajakan.

Ada yang mengatakan dalam pasaran saham wujud unsur gharar, qimar(spekulasi) dan maysir (judi) jadi bagaimana?

Aktiviti spekulasi dan kegiatan jual beli di Bursa Malaysia tidak dapat dipisahkan, maka para ulama telah pun duduk berbincang mengenai isu spekulasi ini.

Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti (MPS SC), menerusi dua mesyuarat pada 16-17 Oktober dan 26 November 1997 telah mengesahkan aktiviti spekulasi ini adalah dibenarkan. Asas utamanya adalah aktiviti spekulasi adalah berbeza dengan berjudi. Hujah lanjut adalah seperti berikut:

  1. Spekulasi adalah tindakan beli pada harga rendah dan jual pada harga tinggi. Ambil untung dari perbezaan dua harga itu tadi. Tujuannya untuk mendapatkan capital gain. Sedangkan itulah cara buat bisnes dalam mana-mana bidang sekalipun. Bai’ Muzayadah atau jual beli lelong pun berlaku aktiviti yang sama. Bai’ Murabahah juga begitu. Islam tidak melarang kegiatan ambil untung melalui aktiviti jual beli.

 

  1. Nabi Muhammad saw sendiri tidak pernah membuat kawalan harga (price control) termasuk ketika ada orang ramai mengadu harga barang mahal. Justeru, apabila ada pihak yang untung apabila harga naik maka tu adalah dibenarkan. Pada masa yang sama, pihak peniaga perlu mengambil risiko sekiranya membeli pada harga tinggi dan harga kemudiannya jatuh pula. Apa yang utama adalah tidak ada penipuan dan manipulasi.

 

  1. Walaupun aktiviti spekulasi dan perjudian nampak macam sama tapi ia TIDAK serupa. Justeru MPS menasihatkan agar pelabur mempunyai pengetahuan secukupnya sebelum melakukan sebarang transaksi jual beli saham dan bukan bertindak seperti seorang kaki judi.

 

Maksudnya, selagi mana rukun dan syarat jual beli itu dapat dipenuhi, maka sama ada ia bersifat short term, atau long term, maka pembelian saham itu tadi adalah satu jual beli yang halal dan bersifat win-win situation dan bukannya zero sum game.

Kesimpulannya, jika ingin menentukan samada aktiviti melabur saham itu bersifat syari’e atau tidak perlu perhatikan beberapa hal berikut :

  1. Pastikan saham yang nak dibeli tu patuh syariah.
  2. Perlu tahu saham apa yang nak dibeli berdasarkan kajian samada menggunakan FA (fundamental analysis) atau TA (technical analysis) atau kedua-duanya sekali.
  3. Mempunyai trading plan supaya kita jelas apa yang nak dibeli dan bilakah masa yang sesuai membeli dan perancangan menjual yang tersusun.
  4. Jangan bersifat seperti kaki judi yang hanya melabur secara meneka-neka (main tikam) atau mendengar kata orang semata-mata tanpa membuat kajian anda sendiri sebelum membuat keputusan membeli saham.

Rujukan: Pakdi.net, Saham Syariah

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat