Ikan Yang Lagi Mahal Daripada Sebuah Lamborghini

473

Ikan kelisa atau dikenali sebagai ikan arowana antara spesis akuatik yang termahal di dunia. Malahan seekor ikan kelisa jenis platinum pernah mencecah sehingga RM1.54 juta. Mengapa harganya setanding dengan harga sebuah kereta Lamborghini?

Ikan kelisa juga digelar sebagai ikan naga kerana sisiknya seakan-akan seperti naga dalam hikayat masyarakat Cina. Tradisi orang Cina memang sinonim dengan naga, disebabkan itu ramai orang suka ikan kelisa dan percaya ikan berkenaan akan membawa tuah serta kekayaan.

Ikan terbabit juga melambangkan status kekayaan kepada pemiliknya.

Namun tidak semua ikan kelisa boleh mencecah harga puluhan ribu atau jutaan ringgit tetapi untuk harga seekor ikan kelisa tetap dikira mahal.

Seekor anak ikan kelisa Singapura boleh mencecah sehingga RM900 manakala ikan kelisa emas Malaysia mampu dijual sehingga RM2,500. Spesis yang jarang ditemui seperti kelisa albino dikatakan mencecah kira-kira RM290,000.

Disebabkan pembiakan ikan ini mengambil masa yang lama, ikan kelisa dilindungi oleh Akta Spesis Terancam.

Pada tahun 1975, 183 buah negara menandatangani perjanjian untuk mengiktiraf ikan kelisa sebagai spesis yang perlu dilindungi dan tidak dibenarkan menjadi ‘alat perdagangan’ dalam sebarang urusan perdagangan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, undang-undang terbabit membuatkan orang ramai menjadi lebih obses dan menyebabkan permintaan untuk ikan kelisa semakin tinggi. Maka, wujudlah pasaran gelap yang menjual ikan ini, sekali gus mengakibatkan harganya melambung naik.

Di Amerika Syarikat (AS), pihak berkuasa negara itu melarang penjualan ikan kelisa dan mereka yang ‘tetap berdegil’ akan cuba membelinya menerusi pasaran gelap.

Lain pula ceritanya di Malaysia. Penjenayah sanggup memecah masuk ke rumah pemilik ikan kelisa semata-mata mahu mencuri ikan tersebut. Tahun ini sahaja, beratus ikan kelisa dari negara ini cuba untuk diseludup ke China.

Disebabkan banyak kes jenayah yang berlaku kerana ikan kelisa, pemilik ikan berkenaan akan memasang cip pada perut haiwan itu.

Cip itu mengandungi maklumat mengenai latar belakang ikan dan nombor siri ikan tersebut, sekali gus memudahkan pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan haram yang berlaku.

Mereka yang membeli ikan kelisa akan mendapat sijil dan nombor siri yang sama dengan nombor cip yang dipasang dalam badan haiwan berkenaan.

Faktor-faktor terbabit membuatkan ikan kelisa menjadi ikan paling mahal di dunia dan dikawal ketat oleh sistem undang-undang di dunia.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat