Impak Bergabung, Saham Digi & Celcom ‘Berkencang Kuat’

412

Saham Axiata Group Bhd dan Digi.Com Bhd merupakan antara yang merekodkan keuntungan paling tinggi ketika sesi dagangan pagi di Bursa Malaysia hari ini selepas para pelabur menerima baik laporan cadangan penggabungan operasi rangkaian telekomunikasi mudah alih Celcom Axiata Bhd serta Digi.Com.

Saham Digi melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan sebanyak 65 sen atau 17.33% kepada RM4.40 manakala Axiata menokok 37 sen atau 9.74% kepada RM4.17.

Pada pukul 10.21 pagi, Digi mencapai paras RM4.26 namun masih lagi menunjukkan peningkatan sebanyak 51 sen atau 13.6% dengan 27.73 juta saham bertukar tangan.

Dalam pada itu, Axiata mencapai paras RM4.10, meningkat 30 sen atau 7.89% dengan 14.76 juta sahamnya bertukar tangan.

Para penganalisis merasa positif dengan penggabungan terbabit kerana akan meningkatkan daya saing untuk Celcom dan Digi. Penganalisis juga melihat kesepakatan itu akan dapat dimeterai dan Digi bakal mendapat lebih banyak keuntungan daripada perjanjian tersebut.

Menurut penganalisis Affin Hwang Capital, Isaac Chow menyatakan dalam catatannya hari ini, beliau positif terhadap cadangan penggabungan itu dan bersetuju dengan pandangan pihak pengurusan Axiata serta Digi bahawa penggabungan terbabit seharusnya menjana sinergi perniagaan melalui skala yang diperbesar, penjimatan perbelanjaan modal (capex) atau perolehan dan pengoptimuman kos.

“Kami melihat kemungkinan besar penggabungan itu akan menjadi kenyataan dan oleh itu, kami menaikkan harga sasaran kami untuk Digi kepada RM4.60 dan Axiata kepada RM4,” ujarnya.

Chow turut meningkatkan saranan untuk Digi kepada ‘beli’ berbanding ‘hold’ sebelum ini tetapi mengekalkan saranan ‘hold’ untuk Axiata.

Dalam pada itu, penganalisis Ta Securities, Wilson Loo berkata, beliau memandang cadangan penggabungan berkenaan sebagai suatu berita yang positif bagi industri telekomunikasi kerana penyatuan tersebut akan mengurangkan tekanan persaingan dalam pasaran mudah alih Malaysia yang matang.

Beliau juga percaya dengan peningkatan dari segi kualiti perkhidmatan daripada Digi dan Celcom, kedua-dua pihak sekurang-kurangnya akan dapat mempertahankan bahagian pasaran mereka.

Loo mengekalkan saranan ‘beli’ kepada Axiata dan Digi dengan harga sasaran RM4.63 serta RM4.10.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat