Impak Kejutan NFP AS Masih Terasa, USD Terus Gagah!

227
  • Kejutan NFP kuatkan USD
  • Mata wang utama kecundang ke paras terendah
  • Mesyuarat polisi RBA jadi tumpuan

US dolar terus mengekalkan momentum pengukuhan pada Selasa selepas melonjak tinggi susulan kejutan laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat yang memberangsangkan pada Januari.

Ekonomi AS tanpa dijangka menambah sebanyak 517,000 pekerjaan, jauh lebih baik daripada jangkaan untuk meningkat hanya 193,000 pada Januari dan meningkat daripada bacaan sebelumnya 260,000.

Lebih mengejutkan lagi adalah kadar pengangguran yang turut mencatat penurunan kepada 3.4%, meleset daripada jangkaan untuk meningkat 3.6% daripada 3.5%.

Angka purata pendapatan yang menjadi pengukur kepada pertumbuhan gaji pula menurun kepada 0.3% daripada 0.4%, menepati jangkaan bahawa tekanan harga di AS semakin mereda.

Ekoran daripada itu, dolar Amerika kembali mencatatkan peningkatan, menyaksikan indeks dolar diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama pada 103.52 pada sesi Asia.

Kejutan itu turut menyaksikan mata wang euro kecundang ke paras terendah 4 minggu, manakala dagangan pound pula terlemah 5 minggu berbanding greenback.

Dalam pada itu, dolar Aussie diniagakan suram pada sekitar paras terendah 3 minggu dengan tumpuan pelabur kini terarah kepada mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) pada hari ini.

Insiden mengenai belon pengintip China yang dikesan memasuki ruang udara AS pada minggu lalu telah mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara itu, di mana pelabur melihat ia mungkin akan mempengaruhi sentimen pasaran.

Di sisi lain, mata wang yen mendapat sedikit sokongan untuk meningkat selepas Kementerian Kewangan Jepun mengesahkan campur tangan dalam pasaran secara senyap.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat