Ini Faktor Kejatuhan Ringgit Selain 1MDB Yang Anda Mungkin Tak Tahu?

331

Ringgit Malaysia telah jatuh sebanyak 31% sejak bulan Ogos 2014 sehinggalah artikel ini ditulis. Hal ini disebabkan pelbagai faktor seperti pengukuhan US Dollar, kelembapan ekonomi global, kejatuhan harga minyak dan juga faktor dalaman seperti geopolitik dan 1MDB.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Muhammad Ibrahim menegaskan bahawa, perubahan nilai Ringgit perlu dilihat dari segi jangka panjang.

Menurut beliau lagi, dalam jangka pendek pergerakan kadar tukaran wang asing banyak dipengaruhi oleh sentimen pasaran yang tidak mencerminkan kekuatan asas ekonomi itu. Apa yang penting adalah memastikan rizab yang mencukupi, mengekalkan asas ekonomi yang kukuh dan menguruskan hutang luar negeri.

Untuk rekod, rizab BNM berjumlah US $97.7 Billion (RM392.5 Billion) yang mana cukup untuk membiayai 1.2 kali hutang luar negeri dan 8.1 kali import tertangguh.

Hutang kerajaan pula berada di paras RM655.7 Billion yang meningkat 37.6% dalam tempoh empat tahun.

Kejatuhan ringgit banyak disebabkan oleh faktor luaran seperti kejatuhan harga minyak dan kelembapan ekonomi global yang mengurangkan permintaan ringgit dalam perdagangan dunia. Kurangnya negara luar membeli ringgit akan menyebabkan nilainya susut.

Pun begitu, faktor dalaman seperti kemelut 1 Malaysia Development Bhd (1MDB) yang mengalami kerugian berbillion ringgit dan juga berhadapan dengan siasatan Department of Justice (DOJ) mempengaruhi sentiment semasa pelabur terhadap Malaysia.

Kadar pertumbuhan KDNK juga telah banyak menyusut dengan jangkaan pertumbuhan hanya 4.2% pada tahun ini.

Penganalisis ekonomi Bank UOB, Julia Goh menyatakan, memang ada risiko penyusutan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia berikutan pengenalan cukai GST. Namun beliau berharap ada rangsangan fiskal dan penurunan kadar OPR agar ekonomi terus berkembang.

GST telah mengurangkan keuntungan kepada sektor perniagaan dan apabila keuntungan kurang mereka mungkin akan memberhentikan pekerja untuk mengurangkan kos.

Pengangguran pula meningkat dan kurangnya perbelanjaan isi-rumah disebabkan ketiadaan wang dan pertumbuhan ekonomi pun menurun.

Jika ada rangsangan fiskal dan Bank Negara menurunkan kadar bunga, ia akan menyeimbangkan semula ekonomi dari kelembapan.

Apa yang penting adalah pihak berwajib perlu menambahkan wang ke dalam ekonomi, barulah boleh menjalankan aktiviti yang boleh meningkatkan ekonomi negara itu.

Peningkatan dalam perkembangan ekonomi mampu memberikan impak postif kepada nilai Ringgit.

Namun dengan keadaan ekonomi semasa, dijangkakan nilai RM akan terus menyusut yang mana, jangkaan Goh nilai RM berbanding US Dollar akan berada di paras RM4 dan ke atas sehingga 2018 atau 2019.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat