Ini Faktor MIDF Research Kekal Saranan Untuk Sektor Automotif

177

MIDF Research mengekalkan saranan ‘positif’ terhadap sektor automotif berikutan perkembangan positif melibatkan pemulihannya berbanding prestasi yang lemah pada Januari lalu.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma berkenaan berkata, prestasi sektor tersebut pada Januari lalu dijejaskan oleh faktor membabitkan kekangan inventori selepas merekodkan suku keempat 2020 yang lebih kukuh selain kekurangan bekalan komponen dan cip di peringkat global.

“Dua faktor pertama itu telah ditangani berikutan keputusan membenarkan aktiviti pembuatan beroperasi semula termasuk di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, masalah kekurangan cip masih ketara sehingga pertengahan tahun ini walaupun impaknya terhad kepada model tertentu di pasaran. Tambahan itu, jumlah kehadiran pelanggan di bilik-bilik pameran turut menunjukkan peningkatan semula selepas PKP di negeri-negeri tertentu ditamatkan,” ujar firma berkenaan seperti dilaporkan oleh Bernama.

Ujar MIDF Research, setakat tahun ini, jumlah keseluruhan industri (TIV) susut 10% kepada 75,621 unit.

Bagaimanapun, TIV bagi Mac dan April dijangka meningkat berikutan tamatnya sekatan pergerakan 10 kilometer, operasi penuh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pembelian pra-Hari Raya Aidilfitri.

Paling utama, TIV bagi Mac dan April mengatasi angka lebih lemah pada tempoh sama tahun lalu, dengan hanya 165 unit sahaja dijual pada April 2020, yang terjejas teruk akibat PKP.

Sementara itu, CGS-CIMB dalam nota penyelidikannya, mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor automotif dan menyasarkan TIV tahun ini mencecah 580,000 atau 10% lebih tinggi tahun ke tahun dan Perodua sebanyak 13% tahun ke tahun yang dipacu oleh beberapa pelancaran model terbaharu.

“Kami berpendapat bahawa permintaan terhadap X50 dan X70 kekal kukuh dengan pihak pengurusan Proton menyatakan pada sesi taklimat keputusan kewangan suku keempat 2020 DRB-HICOM bahawa model-model terbabit mengalami kelewatan tempatan kira-kira 3-4 bulan.

“Perodua pula telah menerima lebih 8,000 tempahan bagi Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) terbaharunya, Ativa. Secara keseluruhannya, kami meramaalkan perkembangan positif ini dapat merangsang pertumbuhan TIV bagi suku kedua 2021 dan tempoh selepas itu,” jelas CGS-CIMB.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat