Ini Faktor Utama Yang Menjadi Penggerak Kepada Matawang Pada Sesi Asia

551

Peningkatan permintaan terhadap USD telah memacu matawang itu untuk meraih keuntungan mingguan terbesarnya sejak krisis kewangan 2008, didorong oleh pelabur yang meningkatkan pegangan tunai mereka kerana dibelenggu oleh kebimbangan kemelesetan global.

US dolar diniagakan meningkat ke paras tertinggi sejak Februari lalu berbanding safe-haven yen, walaupun hasil perbendaharaan AS mencatat sedikit penyusutan.

Dalam dagangan yang tidak menentu pada sesi Asia hari ini, matawang pound menyusut ke paras terendah terbaru dalam tempoh 35 tahun sebelum diniagakan di sekitar paras 1.1500 berbanding US dolar.

Bank of England (BoE) semalam memutuskan untuk menurunkan kadar faedahnya sekali lagi kepada 0.1% dan meningkatkan program pembelian bon sebanyak £ 200 bilion kepada £ 645 bilion untuk menyokong ekonomi UK dari impak COVID-19.

Peningkatan yang diraih oleh euro selepas pengumuman pakej rangsangan oleh Bank Pusat Eropah (ECB) tidak bertahan lama apabila matawang itu diniagakan menyusut ke paras terendah 3 tahun berbanding USD.

Sementara itu, dolar Aussie kembali mencatat peningkatan berbanding US dolar susulan pemotongan kadar faedah oleh Reserve Bank of Australia ke paras terendah 0.25% dan pelaksanaan pelonggaran kuantitatif (QE) pertama bagi negara itu.

RBA merancang untuk membeli bon kerajaan bernilai A$5 bilion pada hari pertama program QE hari ini, menawarkan pembelian bon dengan kematangan antara dua tahun dan lapan tahun, iaitu matang pada bulan Julai 2022, April 2023, November 2027 dan Mei 2028.

Turut menyokong dagangan dolar Aussie dan New Zealand adalah keputusan The People’s Bank of China (PBOC) yang mengekalkan kadar utama pinjaman negara (LPR) 1 tahun pada 4.05% manakala LPR untuk 5 tahun pula kekal pada 4.75%.

Keputusan PBOC untuk mengekalkan kadar faedah mengejutkan pasaran memandangkan ramai yang menjangkakan ia akan mengikut jejak langkah bank pusat di seluruh dunia untuk menurunkan kadar bagi mengimbangi ekonomi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat