Ini Janji UK Untuk Merangsang Ekonomi Yang Terkesan Akibat COVID-19

295

Laporan tahunan belanjawan UK memperlihatkan kerajaan akan membelanjakan berbilion-bilion pound sebagai sebahagian usaha mereka untuk mengimbangi impak coronavirus kepada ekonomi negara itu.

Menteri kewangan yang dilantik bulan lalu, Rishi Sunak telah membentangkan belanjawan pertamanya di hadapan Parlimen UK pada malam tadi.

Sunak memberitahu bahawa kerajaan akan menyediakan £ 7 bilion untuk menyokong pasaran buruh manakala tambahan sebanyak £ 5 bilion pula bertujuan bagi membantu sistem penjagaan kesihatan.

Selain itu, beliau juga mengumumkan kelonggaran fiskal lebih kurang £ 18 bilion untuk menyokong ekonomi, membawa jumlah rangsangan fiskal kepada £ 30 bilion. Sebuah perbadanan awam UK, menyifatkannya sebagai pemberian belanjawan terbesar sejak 1992.

Dalam satu kenyataan beliau di parlimen, Sunak memberitahu penggubal undang-undang bahawa coronavirus akan memberi impak besar kepada ekonomi UK, tetapi ia hanya bersifat sementara, malah respon kerajaan setakat ini dikatakan adalah tepat pada masanya.

Setakat hari ini, jumlah kes jangkitan akibat coronavirus di UK telah mencecah 456, sementara angka kematian meningkat kepada 8 orang.

Beberapa langkah rangsangan oleh kerajaan dalam menangani kesan wabak ini juga termasuk menyediakan cuti sakit berbayar untuk semua yang dinasihatkan untuk dikuarantinkan dan menawarkan pinjaman lebih mudah untuk firma kecil dan sederhana.

Di samping itu, kerajaan UK juga merancang untuk mengurangkan cukai bagi pekerja dan menangguhkan cukai ke atas beberapa barangan tertentu.

Rangsangan yang terkandung dalam belanjawan ini nyata mengagumkan, di mana penganalisis menyatakan pujiannya terhadap Rishi Sunak yang berjaya memenuhi jangkaan pasaran untuk meredakan impak COVID-19 kepada ekonomi UK.

Matawang pound kekal diniagakan mendatar berbanding US dolar sejak sesi dagangan Asia, selepas menyusut berikutan keputusan mengejutkan Bank of England (BoE) menurunkan kadar faedah kecemasan sebanyak 50 mata asas pada Rabu.

Tumpuan pasaran kini tertumpu kepada mesyuarat kecemasan yang akan dijalankan oleh Perdana Menteri Boris Johnson pada hari ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat