Ini Kesan Terkini Terhadap Dagangan Komoditi Dalam Suasana Pasaran Berisiko

565

Keputusan mesyuarat FOMC pada minggu lalu sedikit menyokong kenaikan pada nilai matawang dolar Amerika Syarikat sebelum Presiden Donald Trump mengeruhkan suasana pasaran apabila mengumumkan tindakan tambahan tarif bakal dikenakan terhadap baki barangan import China berkuatkuasa pada awal September nanti.

Ketidaktentuan yang melanda pasaran memberi kesan signifikan terhadap pasaran komoditi terutamanya terhadap minyak mentah dan emas.

Nilai dagangan emas berbanding dolar Amerika Syarikat terus melonjak pada sesi pasaran hari ini dengan kenaikan tertinggi dalam tempoh lebih enam tahun.

Kenaikan harga pada carta XAUUSD telah mencatatkan paras ketinggian terbaru sejak dagangan Mei 2013 mencecah paras harga $1459.00. Ini adalah didorong oleh kegelisahan para pelabur terhadap sentimen pasaran yang berisiko dan membuatkan aset safe-haven lebih menjadi tarikan.

Tembaga pula turut mengalami kejatuhan selepas pengumuman tarif Trump berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan global. Lebih perlahan GDP global akan menyebabkan pertumbuhan turut perlahan sekaligus menjurus kepada permintaan terhadap tembaga yang berkurangan.

Pimpinan China juga melaporkan mereka tidak akan menggunakan sektor hartanah sebagai rangsangan jangka pendek. Hal ini akan turut memberi kesan terhadap penggunaan bahan mentah dalam pembinaan dan akan menjejaskan baki bahan logam kompleks perindustrian.

Nilai bijih besi pula berada di bawah paras $100 dolar per tan mengalami kejatuhan dari paras $120 per tan sebelum ini. Kejatuhan lebih rendah sehingga di bawah paras $80 dolar per tan adalah petanda terhadap peningkatan risiko semasa.

Minyak mentah pula bergantung terhadap tindakan pengawalan bekalan oleh OPEC+ dan juga risiko geopolitik yang mempengaruhi bekalan seperti ketegangan di Timur Tengah terutamanya.

Terbaru, pengumuman tarif Trump menjadi faktor utama mendorong penurunan harga minyak ekoran kedua-dua negara China dan Amerika Syarikat itu merupakan pengguna terbesar minyak di dunia.

Sentiasa pantau perkembangan terhadap pasaran komoditi yang memberi reaksi terhadap isu-isu semasa dalam pasaran khususnya perkembangan terhadap hubungan dagang antara Amerika Syarikat dan China yang kembali menjadi isu tumpuan dunia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat