Ini Kisah Inspirasi Trader Saham Yang Cacat Penglihatan

844

 

Amit Patel dilahirkan di sebuah perkampungan kecil, Varkhad yang terletak di selatan Gujarat, India. Beliau bekerja sebagai pembantu pelanggan di State Bank of India sejak 2011.

Selain itu, Patel memiliki sebuah band muzik yang diasaskan di Ahmedabad. Dua kerjaya tersebut langsung tidak menghalang minatnya terhadap pelaburan. Apa yang menakjubkan ialah Patel merupakan seorang yang cacat penglihatan.

Oleh yang demikian, Patel menggunakan telefon bimbit dan komputernya yang dilengkapi perisisan screen reading.

Selepas menamatkan pengajiannya dalam bidang pengurusan sumber manusia, beliau bekerja di salah sebuah syarikat insurans. Namun begitu, pekerjaan tersebut memperuntukkan tempoh bekerja selama 12 jam sehari lalu menyebabkan beliau tidak dapat menumpukan perhatian kepada bidang muziknya.

Pada tahun 2009, Patel memutuskan untuk meninggalkan pekerjaan tersebut dan melibatkan diri di bank sektor awam kerana ianya mempunyai waktu kerja yang tetap.

Seterusnya, beliau telah menduduki satu peperiksaan khusus untuk State Bank of India. Patel yakin bahawa beliau akan lulus dalam peperiksaan tersebut. Walau bagaimanapun, temuduga dan penempatan kerja akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun selepas keputusan peperiksaan.

Oleh itu, beliau mempunyai banyak masa terluang dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Pada ketika itu, salah seorang rakannya telah mendedahkan kepadanya tentang pasaran saham dan bagaimana untuk mula melabur secara kecil-kecilan.

Justeru itu, Patel menganggap ianya sebagai satu peluang keemasan untuk menjana pendapatan lumayan. Beliau telah membuka sebuah akaun dengan broker saham terkemuka dan memulakan pelaburannya.

Pelaburan pertamanya di NSE Nifty telah berjaya menghasilkan keuntungan sebanyak 1,200 bucks walaupun beliau masih baru dan kurang mahir dalam selok-belok pelaburan. Sehubungan dengan itu, beliau terlalu yakin dan mula melabur dengan modal 1 lakh dan terus mencatat keuntungan.

Malangnya, pada suatu ketika, beliau telah kerugian sebanyak 50% daripada modal keseluruhannya. Sehubungan dengan itu, beliau mula sedar akan kepentingan ilmu dalam pelaburan. Jadi, Patel mengambil inisiatif dengan mempelajari tentang bidang pelaburan melalui rakan-rakannya yang berpengalaman.

Disebabkan oleh ketidakupayaan yang dimiliki, Patel terpaksa bergantung dengan brokernya untuk melabur sehinggakan beliau telah rugi sebanyak 70,000 Rupee akibat daripada panggilan telefonnya yang tidak dijawab oleh broker. Ini merupakan kerugian kedua terbesar yang dicatatkan olehnya.

Akibat daripada itu, Patel mula belajar melabur secara atas talian. Tanpa mengenal erti putus asa, beliau terus belajar sendiri tentang pelaburan sehingga terpaksa menanggung kerugian hampir keseluruhan modalnya. Disebabkan ketiadaan wang, Patel telah berhenti melabur tetapi masih meneruskan pembelajarannya.

Dengan keazaman dan kesungguhan yang tinggi, Patel telah berjaya memperoleh pekerjaan di State Bank of India. Oleh itu, beliau telah memiliki pendapatan yang tetap lalu melabur semula berdasarkan ilmu sedia ada yang diperolehi dalam tempoh yang singkat.

Dari tahun 2012 hingga 2014, beliau telah mengalami kerugian lebih daripada 200,000 Rupee, tetapi ianya langsung tidak mematahkan semangat Patel. Beliau telah memperuntukkan sedikit masanya untuk belajar dan mengembangkan modal sedia ada untuk kembali melabur.

Akhirnya, pada tahun 2016, Patel mula serius dalam pelaburannya dan berjaya mengaut keuntungan berganda berdasarkan pengalaman dan strategi yang diciptanya sendiri.

Benarlah kata-kata yang sering kita dengar iaitu ‘usaha tangga kejayaan’. Jadi, jangan pernah kenal erti putus asa. Kegagalan hari ini tidak bermakna bahawa anda akan gagal untuk selamanya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat