Ini Kisah Kebangkitan Semula ‘The Sandwich Man Of Thailand’

988

Sebelum bergelar ‘The Sandwich Man Of Thailand’, figura hebat ini telah mengalami zaman kejatuhannya sehingga mendapat perhatian ramai. Apakah yang sebenarnya terjadi?

Sirivat Voravetvuthikun merupakan seorang graduan dari University of Texas. Berada di kemuncak ketika berusia 30 tahun, Sirivat telah berjaya memperoleh keuntungan jutaan baht sebagai seorang pengurus dana swasta sebelum menubuhkan sebuah syarikat pembangunan hartanah, Tong Gween serta dikenali sebagai jutawan broker saham.

Pada tahun 1993, beliau telah memulakan sebuah projek pembinaan kompleks kondominium mewah yang bernilai $9 juta dolar di timur laut Bangkok. Malangnya, satu krisis ekonomi telah berlaku di Thailand hingga menyebabkan kemelesetan yang sangat teruk.

Sehubungan dengan itu, Sirivat telah dibebani dengan hutang sebanyak $30.4 juta dolar lalu terpaksa menjual beberapa buah pangsapuri miliknya.

Pada awal 1997, Tong Gween diisytiharkan muflis. Oleh itu, beliau tidak lagi mampu untuk membayar gaji pekerjanya seramai 40 orang.

Seterusnya, kedatangan 20 orang bekas pekerjanya yang memohon untuk kembali bekerja telah mencetuskan idea isterinya, Vilailuck untuk mula menjual sandwich yang diperbuat daripada roti jenama Jepun kegemarannya, Yamasaki.

Pasangan suami isteri tersebut telah mula menjual sandwich pada 20 April 1997. Vilailuck akan bangun seawal 3 pagi untuk menyediakan sandwich yang dijual di Bangkok General Hospital serta berjaya mendapatkan 500 baht hasil daripada jualan tersebut.

Setelah itu, Sirivat mula menjalankan perniagaan sandwichnya di sekitar jalan-jalan Bangkok. Beliau akan menggantungkan sebuah kotak khas yang mengandungi sandwich di lehernya seperti penjual popcorn di Amerika Syarikat. Pada awalnya, beliau menganggap ianya sebagai satu pekerjaan yang memalukan. Namun begitu, beliau terpaksa untuk meneruskannya kerana memikirkan isteri dan anak-anaknya.

Cabaran utama yang dihadapi olehnya ialah persepsi masyarakat tentang makanan yang dijual di jalanan adalah berkualiti rendah dan tidak bersih.

Hakikatnya, Sirivat tidak pernah mengenal erti putus asa sebaliknya beliau cuba untuk meningkatkan kualiti produknya. Oleh itu, beliau mula menjual sushi beras putih setelah melihat isterinya menyediakan sushi buat anak-anak mereka.

Proses tersebut telah memakan masa selama beberapa bulan sehingga diluluskan oleh seorang chef Jepun di Bangkok.

Gara-gara sifat patriotik yang subur dalam dirinya, Sirivat telah menyahut seruan raja Thailand yang menggalakkan rakyatnya untuk mengambil beras perang yang membekalkan tenaga, sushi yang dikeluarkan telah dibuat menggunakan beras perang. Kini, beliau memiliki intellectual property untuk Sushi Brown Rice.

Selain itu, jenama Sirivat Sandwich telah menghasilkan sebanyak 1,200 sandwich, 300 pita sandwich dan 600 sushi setiap hari dengan seramai 70 orang pekerja. Tambahan daripada itu, Sirivat juga menyediakan produk seperti snek nasi yang rangup dan roti mentega. Hasil pendapatan yang diperolehi merangkumi 60% daripada sandwich, 10% daripada katering kopi dan 30% daripada produk lain.

Dengan keazaman dan semangat yang kuat, beliau merancang untuk mengembangkan lagi perniagaannya melalui ejen-ejen di bandar seperti Chiengmai dan Haadyai tahun hadapan serta francais pada 2 tahun akan datang. Di samping itu, beliau turut bercita-cita untuk menyenaraikan syarikatnya di dalam bursa saham Thailand serta menjadikan perusahaannya setaraf dengan McDonald’s.

Kesimpulannya, kehidupan ini diibaratkan seperti roda. Adakalanya berada di atas, adakalanya berada di bawah. Jadi, jangan pernah berputus asa. Teruskan usaha dengan keazaman dan semangat yang jitu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat