Ini Langkah Bank Pusat di Asia Pertahankan Kejatuhan Nilai Mata wang

850

Tindakan Federal Reserve (Fed) menaikkan kadar faedahnya pada tahun ini bukan sahaja menjejaskan pasaran saham global tetapi turut mendorong kemerosotan nilai mata wang yang bersandarkan kepada dolar Amerika.

Dalam usaha untuk mengekang daripada kejatuhan mata wang lebih rendah, langkah yang diambil oleh bank pusat di Asia adalah dengan memanfaatkan simpanan rizab pertukaran asing yang telah dibina selama bertahun-tahun.

Penganalisis mengatakan sesetengah negara akan menggunakan rizab mereka untuk menstabilkan mata wang apabila berlaku pergerakan berlebihan.

Belajar daripada krisis kewangan Asia 1997, bank pusat telah mengumpul dolar untuk membantu mempertahankan mata wang ketika berdepan dengan perubahan pasaran yang tidak menentu.

Susulan daripada langkah hawkish Fed, bank pusat Thailand dan Indonesia berjanji untuk mengurangkan volatiliti dalam mata wang mereka.

Selain itu, bank pusat Filipina pula membenarkan pasaran menentukan nilai peso berbanding dolar, dan hanya campur tangan untuk mengekang volatiliti.

Sebagai rekod, rizab di Thailand mencecah tahap terendah lebih dua tahun setelah susut kepada $221.4 bilion setakat 17 Jun. Simpanan di Indonesia pula paling kecil sejak November 2020.

Sementara rizab Korea Selatan dan India berada pada tahap paling rendah dalam tempoh lebih setahun. Stok simpanan Malaysia pula jatuh paling banyak sejak 2015.

Mata wang Asia mungkin akan terus berada di bawah tekanan apabila Fed bersedia untuk satu lagi kenaikan kadar pada bulan depan, dengan jangkaan pasaran untuk peningkatan 50 mata asas.

Hakikatnya, pada ketika ini mata wang serantau sudah pun berlegar pada paras terendah tahunan, di mana peso Filipina merosot ke tahap paling lemah sejak 2005, manakala ringgit Malaysia suram pada paras terendah sejak Mac 2020.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat