Ini Pengakhiran Untuk Minyak Mentah Pada 2022!

100

Harga minyak sedikit berubah pada hari akhir dagangan untuk tahun 2022, dengan perkembangan mengenai Covid-19 China terus menjadi perhatian pasaran.

Menuju penghujung sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan stabil pada $83 setong, manakala dagangan WTI Amerika Syarikat berlegar pada $78 setong.

Berita dari Itali pada mulanya sedikit menggusarkan pasaran apabila kira-kira 50% daripada penumpang dua penerbangan yang tiba di Milan diuji positif Covid-19 berikutan kebimbangan terhadap penyebaran wabak baru.

Namun, negara itu kemudiannya mengesahkan bahawa tiada penemuan mengenai varian Covid baharu dalam ujian tersebut.

Mengimbas semula prestasi minyak mentah pada tahun ini, komoditi hitam itu telah mencatat keuntungan besar pada separuh pertama yang dipacu oleh perang Rusia dan Ukraine.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah mencetuskan kebimbangan bekalan dan keselamatan tenaga menyebabkan harga tenaga dunia melambung tinggi serta turut menyumbang kepada inflasi.

Namun keuntungan yang dicatatkan kembali berkurang susulan pengetatan monetari bank pusat global terutamanya kenaikan kadar faedah agresif oleh Federal Reserve (Fed) menyuramkan prospek ekonomi ke arah kemelesetan.

Harga turut terkesan akibat kebimbangan terhadap permintaan dari China yang terus berada dalam penutupan Covid-19 pada tahun ini.

Keseluruhannya, dagangan Brent ditetapkan untuk menutup dagangan 2022 dengan kenaikan 5.76% selepas meningkat 50.2% pada 2021.

Harga melonjak pada Mac ke paras tertinggi $139.13 setong, tahap yang tidak dilihat sejak 2008, iaitu ketika perang Rusia dan Ukraine meletus.

Sementara itu, dagangan WTI AS pula berada di landasan untuk meningkat 4.5% pada 2022 susulan kenaikan 55% tahun lepas.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat