Ini Pergerakan Matawang Semasa Susulan Pengumuman Sekatan Perjalanan Oleh Trump

513

Sentimen pasaran kekal berisiko dengan matawang US dolar terus didagangkan menyusut pada pembukaan sesi Eropah, memperlihatkan kesan daripada kenyataan Presiden AS Donald Trump yang mengecewakan.

Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam matawang utama merosot kepada 96.48.

Dolar Aussie kekal diniagakan mendatar berbanding US dolar walaupun selepas Perdana Menteri Australia Scott Morison mengumumkan pakej rangsangan fiskal yang bernilai AUD 17.7 bilion untuk menyokong ekonomi yang terkesan akibat COVID-19.

Sementara itu, penguatkuasaan untuk menyekat perjalanan dari Eropah ke Amerika Syarikat bagi membendung penularan coronavirus yang meluas, terbukti memberi impak lebih besar kepada pasaran matawang dan ekuiti Eropah.

Dolar euro didagangkan menyusut berbanding matawang USD, sementara tumpuan pasaran hari ini beralih kepada mesyuarat polisi pada malam ini yang dijangka bakal menyaksikan penurunan kadar faedah oleh Bank Pusat Eropah (ECB).

Turut menambah kebimbangan adalah kenyataan Trump yang menyekat perjalanan dari Eropah kecuali UK, yang dilihat bakal melemahkan lagi aktiviti ekonomi global akibat gangguan rantaian bekalan.

Di pasaran ekuiti, indeks Euro Stoxx 600 mengalami kejatuhan sebanyak 5.7% pada awal dagangan sesi Eropah, di mana saham berkaitan pelancongan dan pengangkutan jatuh mendadak dengan penurunan 9.3%.

Matawang pound mula mencatat penurunan berbanding USD sementara perhatian pasaran tertumpu kepada mesyuarat kecemasan yang akan dijalankan oleh Perdana Menteri UK Boris Johnson pada hari ini.

Dolar Kanada diniagakan di paras terendah 4 tahun berbanding USD susulan kenyataan Trump yang menambah tekanan kepada penurunan harga minyak berikutan kebimbangan terhadap kekurangan permintaan harga minyak mentah.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat