Harga minyak terus didagangkan lebih tinggi pada hari Khamis, melanjutkan keuntungan yang dicatatkan sejak awal minggu susulan petunjuk bahawa varian Omicron tidak seteruk seperti yang disangkakan.
Niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan menokok pada $76.28 setong pada sesi Asia, sementara dagangan minyak mentah WTI Amerika Syarikat pula meningkat di sekitar harga $72.94 setong.
Laporan daripada pembuat vaksin Pfizer dan BioNTech telah meredakan lagi kebimbangan pasaran mengenai Omicron, di mana ia mengatakan tiga suntikan vaksin Covid-19 mereka mampu meneutralkan varian tersebut dalam ujian makmal yang dijalankan.
Petunjuk awal mengenai Omicron mencadangkan ia mungkin kurang teruk berbanding jangkaan pada awalnya dan ini telah menyokong dagangan komoditi hitam itu.
Bagaimanapun, kenaikan yang dicatatkan sedikit perlahan berikutan sekatan terbaharu yang dilaksanakan di UK dan Denmark telah menimbulkan pula ketidakpastian terhadap permintaan bahan bakar.
Sementara itu dari segi penawaran, Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) melaporkan bekalan minyak mentah Amerika Syarikat meningkat sebanyak 2.3 juta tong pada minggu lepas juga membataskan pergerakan harga minyak.