Ini Perkembangan Terbaru Aset Berisiko Sehari Selepas FOMC & BOE

174

Pasaran ekuiti global masih bergerak lemah dengan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mencanak selepas kenaikan 75 mata asas oleh Federal Reserve (Fed).

Difahamkan bahawa pelabur kini sedang mencerna komen hawkish Presiden Fed, Jerome Powell mengenai prospek pengetatan bank pusat tersebut untuk mesyuarat terakhir bulan depan yang dilihat tiada tanda-tanda untuk diperlahankan.

Ulas Pengerusi Great Hill Capital, Thomas Hayes, untuk tempoh 8 bulan tahun ini Fed telah menaikkan sebanyak 400 mata asas iaitu peningkatan dasar pengetatan terbanyak dalam sejarah dan ia menggusarkan pelabur.

Selain itu, Bank of England (BOE) lewat sesi semalam turut melaksanakan pengetatan dasar monetarinya dengan kenaikan 75 mata asas iaitu catatan terbesar sejak 1989.

Ekoran itu, indeks MSCI ekuiti global yang menjejaki 50 saham negara lain susut hampir 2% sementara saham Eropah turun sekitar 1% selepas mesyuarat BOE.

Pasaran Wall Street juga tiada bezanya apabila Dow Jones Industrial jatuh 0.46% pada 32,001.25 sementara S&P 500 hilang 1.06% pada 3,719.89 dan Nasdaq Composite junam 1.73% pada 10,342.94.

Di Asia pagi ini pula, Nikkei 225 Jepun turun 1% sementara Topix susut 0.8% manakala Kospi Korea Selatan dibuka lemah dan Kosdaq jatuh 0.36%.

Indeks S&P/ASX 200 Australia pula junam 0.23% sementara tolok meluas MSCI Asia Pasifik saham luar Jepun mendatar.

Dalam pada itu, hasil Perbendaharaan meneruskan kenaikan dengan nota 2 tahun canak 4.7117% selepas FOMC dan BOE sementara nota 10 tahun naik 4.149%.

Ringkasan mata wang pula memperlihatkan dolar terus mengukuh 1.46% sejak komen Powell manakala Euro turun 0.7% pada $0.9748 selepas mesyuarat BOE.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat