Ini Puncanya Daging Wagyu Mahal

533

Daging wagyu antara daging yang mahal jika dibandingkan dengan daging import biasa yang dijual di pasaraya.

Jika anda makan daging wagyu, teksturnya sangat lembut dan cair di mulut. Harga sekilogram daging wagyu boleh mencecah sehingga RM2000.

Mengapa harga daging wagyu sangat mahal? Untuk tahu lebih lanjut, teruskan baca artikel ini.

Wagyu itu diambil daripada perkataan Jepun. ‘Wa’ bermaksud Jepun manakala ‘Gyu’ itu adalah daging. Maka wagyu adalah daging Jepun.

Daging wagyu yang paling mahal dikenali sebagai daging Kobe kerana berasal dari baka lembu Tajima dan hanya boleh diternak di daerah Hyogo di Kobe.

Terdapat beberapa baka lembu wagyu yang lain seperti Kuroge (Japanese Black), Akage (Japanese Brown), Nihon Tankaku (Japanese Shorthorn) dan Mukaku (Japanese Polled).

Selain Kobe, beberapa daging lain dinamakan sebagai daging Matsusaka, Yonezawa, Mishima dan Omi. Nama-nama itu diberikan sempena tempat atau asal-usul daging berkenaan.

Pada tahun 1868, kerajaan Jepun mahu memperkenalkan lebih banyak makanan Barat kepada masyarakat. Maka, mereka mengimport daging dari luar negara seperti Britain, Amerika Syarikat (AS), Scotland dan Korea Selatan ke Jepun dengan tujuan untuk menghasilkan daging yang banyak.

Pada tahun 1910, Jepun menghentikan aktivit kacukan tiga lembu hitam iaitu Tajiri, Fujiyoshi dan Kedaka dihasilkan sebagai lembu majoriti manakala dua baka lain iaitu lembu merah Kochi serta Kumamoto menjadi baka minoriti.

Untuk menjaga kualiti lembu, kerajaan Jepun memperkenalkan larangan mengeksport lembunya ke luar negara dengan melaksanakan sekatan pada 1997.

Janin-janin lembu dan anak lembu yang sudah dieksport sebelum sekatan terbabit, berjaya diternak di Australia sehinggakan negara itu menjadi pengeluar lembu wagyu terbesar di dunia, mengalahkan Jepun.

Mengapa daging wagyu dijual mahal? Ambil contoh daging wagyu paling mahal iaitu daging Kobe. Kriteria bagi melayakkan daging itu adalah daging Kobe, lembu tersebut perlu berasal dari baka lembu Tajima dan lahir di daerah Hyogo.

Lembu jantan akan dimandulkan manakala lembu betina pula akan dipastikan tidak pernah mengawan dengan lembu jantan. Maknanya lembu betina perlu kekal ‘dara’ sebelum disembelih.

Lembu Kobe pula hanya diberi bijiran dan rumput dari wilayah itu sahaja.

Selain itu, lembu-lembu yang sedia untuk diproses perlu mempunyai berat antara 780 hingga 800 kilogram, dengan berat rangka selepas dilapah, kurang daripada 470 kilogram.

Lembu-lembu itu perlu dilapah di rumah sembelihan yang dilantik oleh pihak atasan Jepun dan dua rumah sembelihan telah diiktiraf bagi masyarakat Islam.

Selepas menjalani proses lapahan, daging akan digredkan mengikut kualiti kandungan lemak. Ada 4 kategori yang diambil kira dalam penilaian iaitu tahap lemak, warna, kepejalan dan kualiti lemak dalam daging.

Daging akan diberikan gred A, B dan C dengan markah 1 sehingga 5.

Selain itu, daging wagyu akan dinilai melalui tahap ‘sashi’ atau nilai ‘marbling’. Marbling adalah lemak yang terdapat dalam bahagian daging, terdiri daripada lemak tidak tepu dan lemak tepu.

Sashi akan menentukan tahap kecairan daging dengan skor 1 hingga 12.

Untuk layak digelar sebagai daging Kobe, daging itu perlu mendapat gred A4 dan tahap sashi mesti melebihi 6. Jika tidak mendapat gred yang mencukupi, pek daging itu tidak boleh dilabel sebagai daging Kobe.

Komposisi lemak daging wagyu berbeza daripada baka lembu yang lain. Daging wagyu mempunyai kandungan lemak mono tidak tepu dan kepekatan asid oleik yang lebih tinggi.

Kajian menunjukkan bahawa lemak mono tidak tepu adalah baik untuk kesihatan jantung kerana dapat mengurangkan kolesterol jahat dan meningkatkan kolesterol baik dalam darah.

Wagyu turut mempunyai aroma yang manis dan berlemak serta disukai oleh masyarakat Jepun. Aroma tersebut terhasil semasa penyimpanan bersama oksigen dan suhu memasak yang optimum untuk menghasilkan aroma tersebut adalah 80 darjah Celcius.

Daging wagyu dijual mahal kerana proses penjagaannya dari kecil sehingga disembelih adalah sangat teliti bagi memastikan daging yang berkualiti tinggi dan tekstur yang lembut.

Tidak seperti ternakan lembu baka lain, lembu wagyu mempunyai kandungan lemak tidak tepu yang tinggi dan baik untuk kesihatan jantung.

Apa pendapat anda pula? Kongsikan pendapat anda.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat