Ini Rupanya Cara Restoran Bufet Jana Untung Walaupun Semua Makanan Anda Boleh Habiskan

1,224

Makan di restoran bufet memang seronok, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan. Ambil sahaja sebanyak mana makanan yang anda mahu dan kemudiannya anda boleh tambah makanan sehingga kenyang.

Namun pernah ke anda terfikir, bagaimana restoran bufet boleh menjana keuntungan? Dalam artikel kali ini, penulis akan kongsi cara restoran bufet memperoleh pendapatannya.

Jika anda sering mengunjungi restoran bufet, pasti tahu tentang keseronokannya. Anda bayar dengan sejumlah harga mengikut kepala dan anda boleh ambil makanan dan minuman apa yang dimahukan. Untung sabut, pencuci mulut seperti aiskrim juga ada disediakan oleh sesetengah restoran bufet.

Restoran bufet ini pada awalnya bermula pada era 1970an-1980an dan popular sewaktu itu.

Kebanyakan restoran bufet ini mengkhususkan kepada satu jenis konsep makanan seperti makanan Korea, makanan Jepun atau makanan Barat.

Jika di bulan Ramadan, tentunya orang ramai akan lebih gemar untuk mengunjungi hotel lima bintang kerana di situ, pelbagai jenis makanan anda boleh cuba, daripada masakan Melayu hinggalah kepada masakan luar negara.

Salah satu faktor restoran bufet boleh menjana keuntungan adalah mereka tidak memerlukan kakitangan yang ramai untuk melayan pelanggan.

Restoran bufet mengamalkan konsep layan diri, oleh itu pelanggan sendiri yang akan mengambil makanan dan membawanya ke meja. Dari situ, restoran dapat mengurangkan kos membayar pelayan restoran.

Restoran bufet juga menggunakan strategi halus. Jika anda perasan, cuba perhatikan susunan makanan di restoran bufet.

Di bahagian hadapan, mereka akan meletakkan makanan berkarbohidrat dan harganya murah seperti nasi goreng serta mee goreng. Makanan ini antara makanan yang akan dihidang di bahagian hadapan untuk menarik pelanggan mengambil makanan terbabit.

Makanan mahal seperti kambing, ketam atau udang selalunya diletakkan di bahagian belakang. Apabila anda sampai ke bahagian makanan ini, boleh jadi pinggan anda sudah penuh dengan lauk dan anda berniat untuk kembali semula untuk mengambil makanan itu selepas mengosongkan pinggan anda.

Namun, sebaliknya boleh berlaku. Anda berkemungkinan sudah kenyang makan nasi goreng atau mee goreng itu tadi, jadi anda melupakan terus niat untuk mengambil makanan berharga mahal.

Selain itu, restoran bufet juga menyediakan pinggan yang kecil bagi tidak ‘membenarkan’ pelanggan mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak.

Mereka turut akan menyediakan gelas minuman yang besar, supaya pelanggan akan cenderung untuk minum banyak air ketika makan, sekali gus membuatkan pelanggan mudah kenyang.

Restoran bufet akan menggunakan strategi yang dinyatakan untuk memastikan mereka tidak mengalami kerugian. Restoran juga selalunya akan menghidangkan makanan yang berkualiti rendah untuk menampung kos.

Antara tahun 1998 hingga 2017, restoran bufet mengalami kejatuhan sebanyak 26% walaupun bilangan restoran bufet bertambah 22%.

Antara sebab penurunan restoran bufet ini adalah perkembangan restoran yang menyediakan khidmat pelayan yang datang ke meja pelanggan untuk mengambil pesanan makanan.

Sehingga ke hari ini, restoran bufet berada di merata tempat dan pelbagai kaedah perlu dilakukan oleh mereka untuk memastikan tidak mengalami kerugian serta mencapai tujuan yang sama iaitu menarik ramai pelanggan.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat