Dolar Kanada (CAD) menjunam selepas penetapan polisi BoC dengan USD/CAD melonjak sebanyak 87 pip setakat pada pukul 10.10 malam. Matawang CAD turut melemah berbanding matawang-matawang utama yang lain dengan GBP/CAD naik 121 pip dan AUD/CAD naik 60 pip.
Bank of Canada (BoC) seperti dijangka mengekalkan kadar faedahnya dalam pengumuman pukul 10 malam tadi. Kadar faedah kekal 1.25%
Bank pusat juga mengatakan inflasi kekal hampir dengan 2% dengan faktor sementara telah hilang.
Bank pusat mengakui bahawa pertumbuhan ekonomi Kanada pada suku pertama lebih rendah berbanding jangkaan, tetapi menjangka ia akan meningkat semula pada suku kedua.
Bank pusat masih lagi menegaskan bahawa mereka akan terus berhati-hati dengan kenaikan kadar faedah di masa hadapan. Hal ini lah yang menyebabkan kejatuhan CAD selepas polisi diumumkan.
Akhir sekali BoC mengatakan kadar faedah lebih tinggi adalah perlu dari masa ke semasa, walaupun polisi monetari yang akomodatif (menyokong) masih diperlukan bagi mengekalkan inflasi di sekitar sasaran.
Secara keseluruhan, tidak banyak kenyataan yang lebih hawkish oleh BoC dalam kenyataan awal. Oleh itu, CAD terus jatuh disebabkan jangkaan pasaran yang meleset kerana pasaran mengharapkan kenyataan yang lebih optimistik dalam mesyuarat kali ini.
Tumpuan seterusnya adalah kepada Gabenor Poloz yang akan mengadakan sidang media pada pukul 11.15 malam ini.