Ini Sebab Twitter Sekat Akaun Pasukan Kempen Donald Trump

195

Akaun Twitter milik pasukan kempen Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump disekat seketika oleh laman media sosial berkenaan semalam selepas memuat naik sebuah video mengenai anak kepada calon Presiden, Joe Biden iaitu Hunter Biden.

Twitter memaklumkan video tersebut telah melanggar undang-undang laman terbabit.

Video berkenaan merujuk kepada artikel yang disiarkan oleh New York Post kelmarin yang mendakwa Hunter berurusan dengan sebuah syarikat tenaga dari Ukraine dan Joe didakwa telah bertemu dengan penasihat syarikat tersebut.

Menurut laporan New York Post, Hunter didakwa menjadi ahli lembaga pengarah bagi syarikat terbabit iaitu Burisma Holdings sejurus selepas bekas Presiden AS, Barack Obama mengarahkan Joe menguruskan hubungan AS dengan Ukraine pada 2014.

Hunter dilaporkan menerima sebanyak lebih AS$166,000 sebulan daripada syarikat tersebut. Dakwaan itu dikuatkan lagi apabila Joe mendesak kerajaan Ukraine untuk memecat pendakwa raya terkemuka negara itu, Viktor Shokin kerana terbabit dalam penyiasatan terhadap Burisma pada 2018.

Bagaimanapun, jurucakap kempen Joe, Andrew Bates dalam satu kenyataan menyatakan Joe tidak pernah berjumpa dengan penasihat syarikat itu dan jawatankuasa Senat turut memutuskan Joe tidak terbabit dalam pertemuan itu.

Selain akaun pasukan kempen Trump, akaun milik Setiausaha Akhbar White House iaitu Kayleigh McEnany dan New York Post juga disekat kerana didakwa menyebarkan kandungan berbentuk maklumat peribadi dan bahan yang digodam.

Jelas jurucakap Twitter, kesemua akaun terbabit perlu memadam ciapan yang melanggar peraturan laman itu sebelum dibenarkan menghantar ciapan semula.

Dalam pada itu, pemimpin majoriti Senat AS, Mitch McConnell berkata sekatan terhadap berita mengenai Hunter Biden adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya wujud ‘speech police’ di AS.

 

Anda mungkin juga berminat