Ini Situasi Pasaran Saham Pada Awal 2021

254

Bursa Malaysia memulakan awal 2021 dengan dibuka rendah apabila indeks utama susut 0.73% berikutan kekurangan pemangkin pasaran dan ketika prestasi serantau bercampur-campur, kata peniaga.

Pada 9.13 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 11.81 mata kepada 1,615.4 selepas dibuka 1.8 mata lebih tinggi kepada 1,629.01 berbanding 1,627.21 sewaktu ditutup pada Khamis.

Lapor Bernama, sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 427 kepada 222 manakala 328 kaunter tidak berubah, 1,105 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 660.06 juta unit bernilai RM322.62 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee Shen Pin, menjangkakan bursa tempatan akan menyaksikan pembukaan yang lemah akibat kekurangan pemangkin dengan niaga hadapan Amerika Syarikat (AS) kekal tidak mencatat sebarang perubahan.

Berita mengenai penamatan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) mungkin mendorong sebahagian penjualan saham pembinaan dan bahan binaan hari ini.

“Sehubungan itu, kami melihat FBM KLCI mungkin diuji pada paras 1,620/25 hari ini,” katanya dalam nota hari ini.

Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura telah ditamatkan memandangkan kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia susulan perjanjian projek itu berakhir pada 31 Disember 2020.

Dalam kenyataan media bersama oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, berkata kerajaan Malaysia mencadangkan beberapa perubahan kepada projek HSR kerana kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi Malaysia.

“Kedua-dua kerajaan mengadakan beberapa perbincangan berhubung perubahan ini dan belum dapat mencapai persetujuan. Oleh itu, Perjanjian HSR telah luput pada 31 Disember 2020,” menurut kenyataan itu.

Dari sudut positif, Yee berkata ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS dan kini berada pada RM4.02, iaitu baik kepada pengimport terutamanya bagi saham automotif.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM8.44, Public Bank susut 14 sen kepada RM20.46, Petronas Chemicals jatuh lapan sen kepada RM7.35 dan Top Glove turun 30 sen kepada RM5.82.

Bagaimanapun Tenaga meningkat 12 sen kepada RM10.54 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.50.

Dalam kalangan saham aktif, Daya Material tidak berubah pada 1.5 sen, Ekovest turun 4.5 sen kepada 47.5 sen, Green Ocean susut setengah sen kepada 8.5 sen dan Iris tidak berubah pada 43.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 89.12 mata kepada 11,672.81, Indeks FBMT 100 turun 87.53 mata kepada 11,414.46, FBM 70 jatuh 131.05 mata kepada 15,011.79 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 103.64 mata kepada 13,055.51.

Bagaimanapun, FBM ACE turun 18.52 mata kepada 10,753.21.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 1.5 mata kepada 176.61, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 73.66 mata kepada 15,242.89 dan Indeks Perladangan turun 11.1 mata kepada 7,291.74.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat