Ini Tumpuan Utama Pasaran Pada Pembukaan Sesi Eropah!

134

Dagangan mata wang utama mendominasi pasaran pada pembukaan sesi Eropah ketika tumpuan pasaran terarah kepada pengeluaran minit mesyuarat FOMC pada sesi New York akan datang.

Mata wang euro, yang menantikan penerbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan dari Zon Eropah sebentar lagi, didagangkan stabil pada sekitar harga 1.0330 dengan kenaikan 0.3% berbanding US dolar.

Turut menjadi tumpuan adalah pound yang akan diperlihatkan dengan data sama dari UK, menyaksikan mata wang itu didagangkan mendatar pada sekitar harga 1.1890 berbanding greenback.

Dengan jangkaan menyuramkan dalam data tersebut, ia mungkin boleh memberi impak kepada kedua-dua mata wang itu sebaik sahaja ia dikeluarkan.

Sementara itu, dolar kiwi terus didagangkan lebih tinggi selepas mendapat sokongan daripada keputusan mengejutkan Reserve Bank of New Zealand (RBNZ).

RBNZ meningkatkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas pada mesyuarat polisi terbaharunya, di samping turut memberi isyarat untuk melaksanakan peningkatan selanjutnya.

Dolar Aussie pula sedikit meningkat namun dengan pergerakan yang terbatas berikutan kebimbangan terhadap Covid-19 di China masih membelenggu pasaran.

Raja mata wang US dolar pula kekal suram, menyaksikan indeks dolar diniagakan rendah pada 106.95 berbanding sekumpulan mata wang utama.

Minit mesyuarat FOMC yang bakal dikeluarkan pada awal pagi Khamis bakal dijadikan petunjuk seterusnya oleh pelabur untuk hala tuju Federal Reserve (Fed) seterusnya.

Terbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan Amerika Syarikat pada sesi New York juga bakal menjadi tumpuan pasaran bagi melihat tahap kesihatan ekonomi gergasi itu setelah beberapa siri kenaikan kadar agresif dilaksanakan bank pusat.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat