Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Perjanjian Perdagangan Fasa Pertama

310

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan telah mencapai kesepakatan dengan China dalam perjanjian perdagangan fasa pertama pada Jumaat lalu. Bagaimanapun, mengapa perjanjian ini dilihat masih mempunyai risiko untuk gagal?

Perjanjian tersebut akan mengambil masa lima minggu untuk mendapatkan perjanjian bertulis, menurut Trump. Ia akan menangani masalah harta intelek dan perkhidmatan kewangan dan pembelian produk pertanian AS secara besar-besaran yang bernilai $40 bilion hingga $50 bilion.

Timbul persoalan terhadap tempoh yang diambil untuk menyiapkan perjanjian bertulis tersebut kerana menurut kenyataan Trump, beliau tidak menolak bahawa dalam tempoh tersebut, perjanjian tersebut mempunyai kemungkinan untuk terbatal.

Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menggantung penambahan tarif ke atas $250 bilion barangan import China daripada 25% kepada 30% yang sepatutnya dilaksanakan 15 Oktober ini sebagai balasan terhadap persetujuan untuk pembelian produk pertanian oleh China.

Namun begitu, AS tidak membatalkan tarif yang telah dilaksanakan ke atas barangan China sejak bermula perang perdagangan awal tahun lalu termasuk 15% tarif ke atas $110 bilion barang yang dikenakan pada September.

Tambahan pula, tarif sebanyak 15% dikenakan ke atas barangan baru China termasuk produk pengguna yang akan mula dilaksanakan 15 Disember ini juga masih dikekalkan.

Sementara itu, Trump memberi petunjuk bahawa perjanjian fasa pertama itu akan ditandatangani bersama Perdana Menteri China Xi Jinping di Sidang Kemuncak APEC di Chile pada November ini manakala fasa seterusnya akan bermula selepas termeterainya perjanjian tersebut.

Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin menyatakan perjanjian tersebut masih belum lengkap sepenuhnya memandangkan banyak urusan yang perlu diselesaikan termasuk perjanjian berhubung matawang dan akses untuk syarikat kewangan Amerika.

Perjanjian ini sebenarnya jauh daripada yang diharapkan oleh Trump, namun dengan perjanjian kecil ini ia masih mampu membantu meredakan tekanan pasaran yang telah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat