Insiden Terusan Suez, Dua Sektor Ini Terima Impak Minima

440

Pendapatan pengeluar sarung tangan dan sektor pengguna akan menerima impak yang minimum bagi tahun kewangan yang berakhir 2021 (TK21) berikutan insiden Terusan Suez yang terhalang akibat sebuah kapal.

Menurut PublicInvest Research, anggaran awal membayangkan bahawa gangguan selama dua minggu memberi impak minimum, walaupun pasaran Eropah menyumbang 30 hingga 40% daripada kuantiti jualan pengeluar sarung tangan.

“Bagaimanapun, gangguan yang berterusan mungkin akan memburukkan situasi kekurangan kontena yang menyebabkan kelewatan penerimaan hasil bagi pengeluar sarung tangan,” ujar firma terbabit dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, Bernama melaporkan, potensi caj muatan yang lebih tinggi tidak akan mengurangkan margin syarikat sarung tangan kerana kos perkapalan biasanya ditanggung pembeli.

Meskipun pengeluar sarung tangan biasanya menerima hasil apabila barangan dihantar ke pelabuhan namun mereka dijangka memperoleh tempahan kapal sebelum mengangkut barangan ke pelabuhan, situasi kekurangan kapal mungkin menyebabkan kelewatan penerimaan hasil.

Sementara itu, pemulihan aktiviti ekonomi global dijangka disokong oleh pelancaran program pemberian vaksin dan pakej rangsangan yang akan meningkatkan keyakinan pengguna.

Memandangkan Terusan Suez di Mesir merupakan laluan penting kepada perdagangan dunia, insiden itu akan menjejaskan lagi rantaian bekalan global yang sudah terkesan teruk.

“Bagaimanapun, kami berpandangan kejadian terbabit tidak akan membawa impak besar kepada pendapatan syarikat di bawah liputan kami.

“Berdasarkan pengiraan, kami menganggarkan impak pendapatan bagi Kawan Food dan QL Resources adalah minimum pada 1.0% sekiranya berlaku kelewatan penghantaran selama dua minggu kerana kedua-dua syarikat itu mempunyai kepelbagaian pasaran dari segi geografi. Eropah menyumbang sebanyak 9.0% daripada jualan Tahun Kewangan 2020 Kawan Food,” katanya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat