Iran Buat Pelabur Minyak Resah!

697

Iran dilaporkan sedang bersiap sedia untuk meningkatkan eksport minyak mentahnya sehingga mencapai kapasiti maksimum dalam beberapa bulan akan datang.

Langkah itu dibuat di tengah-tengah petunjuk bahawa rundingan antara Washington dan Iran di Vienna tidak lama lagi akan menghasilkan kesepakatan dan mengangkat semula sekatan oleh Amerika Syarikat yang dilaksanakan pentadbiran terdahulu, bekas Presiden Donald Trump.

Terdahulu, INTRADAY ada melaporkan bahawa Iran dan Amerika Syarikat telah membuat kemajuan besar dalam usaha untuk mengembalikan semula perjanjian nuklear, yang akan meningkatkan bekalan minyak mentah.

Menurut laporan Energy Intelligence yang memetik kenyataan sumber di kementerian minyak Iran, negara itu sedia untuk meningkatkan eskport dan sasarannya adalah Asia walaupun perlu bersaing dengan Arab Saudi dan Iraq.

Keutamaan nombor satu untuk Iran setelah sekatan diangkat semula, adalah mengeksport dengan kapasiti maksimum tanpa menghiraukan lebihan bekalan dalam pasaran.

Perjanjian tersebut akan mengembalikan sekitar 2 juta tong sehari minyak mentah Iran dan ini akan memberi tekanan buat dagangan minyak mentah.

Pada sesi Asia, harga minyak terus lemah dan menuju kerugian mingguan terbesar mereka sejak Mac.

Niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan berlegar di sekitar $65.20 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula rendah pada $62 setong.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat