Itu Dia! Dagangan Bursa Terus Kekalkan Rentak Agresif

170

Seperti pelangi yang muncul setelah hujan, para pelabur tempatan terus mengecapi kegembiraan setelah dagangan bursa terus mencatatkan paras tertinggi 5 hari berturut-turut.

Pasaran Bursa Malaysia terus dibuka tinggi pada hari ini susulan momentum pembelian yang dilihat kekal berterusan berikutan sentimen pasaran yang positif serta harga komoditi dan minyak yang kukuh.

Pada 9.57 pagi, indeks petunjuk aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ‘meroket’ 14.73 mata kepada 1,584.53 daripada 1,569.80 sewaktu penutupan pasaran pada Rabu.

Lapor Bernama, indeks utama itu diniagakan 0.92 mata lebih tinggi kepada 1,570.72.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 246 berbanding 181, manakala 290 kaunter tidak berubah, 1,535 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyaksikan kenaikan kepada 313 juta unit yang bernilai RM159 juta.

Menurut Malacca Securities, pelabur asing memperoleh ekuiti tempatan bernilai RM236.5 juta pada semalam dan merupakan pembelian bersih harian yang tertinggi sejak pertengahan Jun.

Meskipun indeks utama terus pamer rentak kenaikan, para pelabur juga perlu berwaspada sekiranya aktiviti profit taking berlaku susulan momentum lonjakan yang terlalu tinggi.

Tambahnya, pelabur dijangka akan kekal menumpukan tumpuan kepada stok pemulihan di bawah segmen pembinaan dan bahan binaan.

Bagi saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals meningkat 23 sen kepada RM8.38, Sime Darby naik lapan sen kepada RM2.34, Press Metal naik enam sen kepada RM5.30, manakala MISC dan TM masing-masing melonjak sembilan sen kepada RM7 dan RM6.05.

Maybank pula susut satu sen kepada RM8.32 dan Public Bank naik satu sen kepada RM4.11.

Bagi saham aktif, Ta Win naik dua sen kepada lima sen, Parkson melonjak tiga sen kepada 22.5 sen serta BCM Alliance dan Scope Industries masing-masing jatuh dua sen kepada 7.5 sen dan 34.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 22.57 mata kepada 11,472.03, Indeks FBM Emas Shariah naik 38.72 mata kepada 12,590.62 dan FBM ACE turun 21.89 mata kepada 7,267.23.

Indeks FBMT 100 meningkat 22.07 mata kepada 11,180.66 dan FBM 70 naik 7.52 mata kepada 14,941.16.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 23.62 mata kepada 15,358.33, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 2.29 mata kepada 196.88 dan Indeks Perladangan meningkat 29.96 mata kepada 6,692.97.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat