Jaga-Jaga Dengan Situasi Tidak Menentu Bursa Malaysia

291

Bursa Malaysia mencatatkan dagangan tidak menentu semasa dibuka hari ini namun indeks utama kekal di atas paras 1,500 berikutan sentimen dipengaruhi oleh pasaran serantau yang positif dalam keadaan pengambilan keuntungan sederhana di pasaran tempatan.

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.34 mata kepada 1,526.66 selepas dibuka 2.37 mata lebih rendah pada 1,521.95.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 392 berbanding 357 manakala 876 kaunter tidak berubah, 523 kaunter tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Lapor Bernama, jumlah dagangan sebanyak 1.81 bilion bernilai RM892.87 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pasaran dijangka mengalami tidak banyak perubahan hari ini selepas merekodkan pergerakan kukuh baru-baru ini, dengan kenaikan mungkin dihadkan pada paras rintangan segera di antara 1,530 dengan 1,540.

“Kami menjangkakan 1,500 kekal sebagai paras sokongan yang baik buat masa ini, diikuti 1,470,” kata firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Sektor perbankan berada dalam keadaan peningkatan diterajui oleh Public Bank, Maybank, CIMB, Hong Leong Bank dan RHB Bank susulan tiada lanjutan moratorium menyeluruh diumumkan menerusi Belanjawan 2021 sekali gus menjadi petanda baik bagi perolehan bank.

Bagaimanapun, pengeluar sarung tangan getah, Hartalega dan Top Glove merupakan kaunter paling rugi dalam kalangan kaunter berkaitan indeks, menyeret turun indeks komposit sebanyak 22.77 mata bagi FBM KLCI.

Hartalega merosot RM1.74 kepada RM16.48 sementara Top Glove turun 63 sen kepada RM7.85.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 16 sen kepada RM7.28, Public Bank menambah 72 sen kepada RM16.02, Tenaga menokok lapan sen kepada RM10.34 sementara Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM6.36.

Antara saham aktif, AirAsia X naik tiga sen kepada tujuh sen, Kanger menambah dua sen kepada 21 sen, sementara AT Systematization dan Technodex masing-masing turun 2.5 sen kepada 19 sen dan 2.1 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 6.64 mata kepada 11,046.84 dan Indeks FBMT 100 menambah 4.64 mata kepada 10,837.38.

Indeks FBM Emas Syariah susut 177.09 mata kepada 13,155.82, FBM 70 turun 40.36 mata kepada 14,448.68 dan FBM ACE merosot 208.14 mata kepada 11,167.03.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 300.88 mata kepada 12,568.15, Indeks Perladangan meningkat 11.94 mata kepada 7,160.67 tetapi Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.33 mata kepada 150.92.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat