Jom Support Hausboom Masuk ke 7Eleven, Juice Power Keluaran Anak Jati Malaysia.

4,185

Anda pernah dengar tentang Hausboom? Hausboom adalah jenama juice sparkling buah-buahan keluaran anak jati Malaysia. Jika terjumpa minuman ini di mana-mana rangkaian kedai serbaneka atau mart, dari segi design botol yang power ini, anda mesti agak yang ini adalah juice import kan?

Ini sebenarnya adalah keluaran anak jati Malaysia!

Kredit : Facebook Page Hausboom

Mengikut status yang ditulis oleh CEO The Boom Beverage Sdn Bhd, Tuan Azri Zahier Azmi di Facebook baru-baru ini, Hausboom telah 2 tahun cuba menembusi pasaran 7Eleven tetapi masih belum mendapat tempat di dalam peti ais rangkaian 7Eleven.

Sedangkan Hausboom kini sudah berada di rata-rata kedai Mesra Petronas, Shell Select, Petron, MyNews dan banyak lagi rangkaian kedai yang sudah menjual juice sparkling yang power ini.

Jadi untuk itu, mereka perlukan sokongan rakyat Malaysia untuk viralkan produk ini mesti masuk ke 7E dengan hashtag #helpHAUSBOOMget7e

Kami Team Editorial di Moshed.com sebagai jenama Media keluaran Malaysia, sangat memahami perjuangan jenama Malaysia yang perlukan sokongan sesama kita untuk bersaing dengan jenama luar.

Oleh itu jom support produk keluaran Malaysia ini!

Anda boleh baca STATUS PENUH Tuan Azri Zahier Azmi di bawah.

HAUSBOOM MEMERLUKAN BANTUAN RAKYAT MALAYSIA.

Industri minuman adalah satu industri yang amat mencabar. Pesaing-pesaing kami terdiri daripada syarikat-syarikat gergasi yang mampu membakar duit ratusan juta setahun untuk kerja pemasaran, penjenamaan dan promosi.

Untuk kekal kompetetif, Hausboom perlu mengeluarkan lebih 2,000,000 botol sebulan. 70% daripada target ini akan dipenuhi oleh pasaran export kami di 6 buah negara sediaada dan lebih 22 buah negara lain yang sedang dalam proses pengesahan kebenaran eksport oleh pihak berkuasa.

Yang menjadi masalah adalah pasaran domestik iaitu Malaysia. Walaupun pelbagai anugerah telah dicapai, walaupun hampir semua stesyen minyak, MyNews dan kafe-restoren seluruh Malaysia mengedarkan HAUSBOOM, kami masih gagal mencapai target.

Kami memerlukan sokongan outlet gergasi seperti 7Eleven yang memiliki lebih 2,200 outlet; TERBESAR di Malaysia.

Sudah hampir 2 tahun berbincang. Sudah kami hamparkan pelbagai bukti kapasiti pengeluaran, sokongan pemasaran dan bukti permintaan pasaran terhadap produk HAUSBOOM namun kami masih gagal mendapatkan ruang di peti sejuk 7Eleven.

Halangan kami cuma satu; yuran penyenaraian (listing fee) berjumlah hampir RM200,000.00. Kalau dicampur dengan yuran “komitmen pemasaran”, kami perlu sediakan hampir RM500,000 tunai sebelum diizinkan masuk ke 7Eleven.

Syarikat kecil kami yang beroperasi di Kampung Gong Medang, Besut nun jauh di hulu Terengganu ini memang tak mampu. Terus terang. Kami juga bukan anak orang kaya yang mampu minta mak bapa wang modal. Tiada juga sokongan organisasi kewangan gergasi di belakang kami. Kami sendiri, usaha pagi petang siang malam tanpa cuti membina perniagaan ini.

Tapi kami yakin dan pasti, syarat yuran penyenaraian ini boleh dikecualikan oleh pihak 7Eleven jika pengguna bersuara mahukan produk HAUSBOOM di 7Eleven. Banyak jenama gergasi dijemput dengan karpet merah untuk disenaraikan secara percuma.

Sebuah syarikat minuman berperisa cola dan larutan gula kini bernilai USD76,000,000,000.00 hasil sokongan anda semua, rakyat Malaysia.

Bantulah kami pula, syarikat minuman sparkling jus buah-buahan sebenar ini. 100% milik anak Malaysia!

Mohon SHARE POST INI DAN TAG 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd sampai mereka sedar kewujudan kami dan memberi peluang, menerima HAUSBOOM untuk disenaraikan di sana. Beritahu mereka, agar beri ruang dan peluang kepada produk lokal juga sepertimana mereka sokong produk-produk import dan jenama gergasi yang lain!

Ketahuilah, ini langkah terakhir kami untuk mendapatkan 7Eleven. Kami sangat yakin dengan suara dan kuasa media sosial.

MAKE MALAYSIA GREAT AGAIN! (With great, locally produced product, by local people).

#helpHAUSBOOMget7e
#helpHAUSBOOMget7e
#helpHAUSBOOMget7e

(P/S: sebaik sahaja masuk 7Eleven, kami akan ada “volume” jadi kos akan menurun. Dengan itu kami berjanji akan turunkan harga jualan dari RM3.90-RM4.50 kepada RM3 sahaja!)

Kami dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.

Yang memohon bantuan (sambil bergenang air mata),

AZRI ZAHIER AZMI
Chief Executive Officer
The Boom Beverage Sdn Bhd

Link status media sosial : https://bit.ly/2Og1iYZ

.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat