K-One Sasarkan Pemasaran Alat Ujian Swab Hidung 3D Di Malaysia Dan Luar Negara

232

Syarikat elektronik, K-One Technology Bhd yang berpusat di Malaysia dilaporkan dalam usaha untuk memasarkan alat ujian swab hidung keluaran syarikat tersebut dalam masa terdekat jika mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa tempatan.

K-One memfokuskan kepada kajian, mereka bentuk dan mencipta produk elektronik serta subsistem bagi komunikasi, perisian dan pengguna industri elektronik.

Menurut maklumat yang dinyatakan kepada Bursa Malaysia, pihak mereka akan mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan bagi memasarkan alat ujian swab hidung yang dicipta menggunakan teknologi 3D itu.

Seperti alat kesihatan penutup muka dan hand sanitizer, alat ujian swab hidung mula mendapat permintaan berikutan penggunaan kuantiti yang tinggi setiap hari untuk saringan pandemik Covid-19.

Ujian alat swab hidung keluaran K-One dikatakan bebas daripada sebarang kaedah penyuntikan pengacuan yang melibatkan bahan poliester yang dilekatkan pada hujung syaf plastik.

Rabu lalu, K-One mengumumkan rancangan mereka untuk melabur dalam pengeluaran alat ujian swab hidung yang mana bertujuan untuk mendapatkan cecair dari belakang rongga hidung. Alat ujian swab hidung yang telah digunakan akan dimasukkan ke dalam bekas kecil yang mengandungi kandungan medium kultur sebelum dihantar ke makmal bagi ujian saringan Covid-19.

Bukan Malaysia sahaja yang akan menjadi tumpuan, malah produk tersebut turut akan dipasarkan di luar negara seperti ke Amerika Syarikat (A.S), Eropah dan beberapa negara ASEAN.

Mereka melihat bahawa permintaan terhadap produk sapuan hidung agak tinggi, walau bagaimanapun penggunaan bagi produk tersebut perlu mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa di negara masing-masing terlebih dahulu.

Syarikat tersebut juga dilaporkan telah memesan alat pencetak alat ujian swab dari sebuah syarikat teknologi percetakan 3D terkenal di A.S bagi mencetak alat swab 3D berkenaan.

Malah dengan usaha kerjasama antara syarikat teknologi percetakan 3D dan pembekal peralatan kesihatan A.S., mereka kini berjaya mendapatkan keputusan status Pengecualian Kelas 1 Pihak Pentabiran Makanan dan Ubatan AS (FDA) bagi reka bentuk alat ujian swab yang dihasilkan.

Produk tersebut kini dibekalkan kepada pembekal penjagaan kesihatan dalam usaha mendapatkan sampel wabak tersebut sekaligus menggantikan alat ujian swab hidung terdahulu.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat