Kadar Faedah di UK Dikekalkan, Sentimen Brexit Masih Berisiko

437

Matawang dolar USD kembali menunjukkan peningkatan pada dagangan Khamis semalam selepas merudum susulan kenyataan oleh Federal Reserve yang mengejutkan pasaran dengan mengabaikan rancangan untuk menaikkan kadar faedah pada tahun ini, memberi isyarat bahawa kitaran polisi kenaikan kadar bakal berakhir.

Fed telah memberikan isyarat dovish terhadap pasaran selepas kadar faedah dikekalkan dalam mesyuarat FOMC semalam membuatkan pelabur bergegas memasuki pasaran dengan ramalan kadar faedah di Amerika Syarikat akan diturunkan pada tahun ini.

Pound terus didagangkan lemah pada Khamis dan mencapai kejatuhan terbesar dagangan harian untuk tahun ini berikutan kebimbangan terhadap isu Brexit semakin menular dalam pasaran.

Pelabur melihat permintaan Perdana Menteri Britain, Theresa May untuk melanjutkan tempoh Brexit sehingga akhir Jun ini adalah singkat dan berdepan kesukaran mendapatkan kelulusan sekaligus membuatkan dagangan Sterling mengalami kejatuhan ekoran sentimen negatif tersebut.

Data jualan runcit UK yang dikeluarkan pada sesi pasaran Eropah semalam menunjukkan bacaan yang positif dengan kenaikan 0.4% untuk bulan Februari berbanding jangkaan penurunan -0.4% oleh pasaran.

Pada jam 8.00 malam pula, keputusan penetapan kadar faedah  untuk mesyuarat dasar pada Mac di UK menjadi tumpuan pelabur. Bank pusat England telah menetapkan kadar faedah kekal tidak berubah di paras 0.75% seperti yang telah dijangkakan.

Penggubal dasar menekankan pertumbuhan GDP global serta dagangan bergerak perlahan sementara kadar inflasi di UK dijangka kekal berhampiran paras sasaran 2% untuk bulan seterusnya.

Dolar Australia kembali didagangkan lemah setelah positif pada awal dagangan semalam disokong oleh kelemahan dagangan USD dan juga laporan pekerjaan Australia yang positif.

Manakala, matawang EURO pada bulan ini kekal berada dalam kelompok dagangan yang berisiko setelah European Central Bank (ECB) menangguhkan langkah kenaikan kadar sehingga tahun 2020 dan bakal melancarkan kempen pinjaman jangka masa panjang pada September tahun ini.

Sesi pasaran Eropah hari ini bakal menyajikan data ekonomi seperti data PMI perkilangan di zon Eropah khususnya di Jerman dan Perancis untuk mengukur tahap kesihatan ekonomi semasa.

Dan pada sesi pasaran New York pula, tumpuan beralih ke Kanada dengan data indeks harga pengguna serta data jualan runcit bakal mencuri tumpuan para pelabur. Jangkaan pasaran terhadap data-data tersebut adalah positif dan bakal memberi kesan yang baik untuk dagangan Loonie.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat