Kanak-kanak 12 Tahun Ini Asaskan Matawang Kripto Universal Untuk Permainan Video

354

George Weiksner merupakan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang berasal dari Old Greenwich, Connecticut, Amerika Syarikat. Si kecil molek yang memakai pendakap gigi ini bukanlah seorang kanak-kanak biasa bahkan beliau adalah seorang pengasas dan CEO matawang kripto universal yang dikenali sebagai Quarters.

Uniknya, matawang tersebut digunakan dalam permainan video!

Hal ini didorong oleh minat George terhadap permainan video seperti Fifa, Fortnite, Madden Mobile dan sebagainya. Apa yang mengecewakan beliau ialah apabila terpaksa kehilangan kesemua coins terkumpul jika beliau memutuskan untuk tidak meneruskan permainan tersebut.

Ketika itu, bapanya, Mike Weiksner mendedahkan kepada beliau tentang matawang kripto. Maka, tercetuslah idea George Weiksner untuk menggabungkan permainan video dan matawang kripto lalu mengasaskan Quarters.

Matawang tersebut bukan sahaja boleh digunakan dalam permainan video sebaliknya memberikan insentif kepada pemaju platform permainan utama untuk mencipta permainan dalam ekosistem Quarters. Hebat!

Sehubungan dengan itu, George telah berjaya memperoleh kepercayaan daripada selebriti Youtube iaitu Michelle Phan dan Devo Springfield sejurus selepas pelancarannya. Kedua-dua figura tersebut telah melabur di syarikatnya lalu berjaya mengumpulkan modal lebih daripada $400,000.

Selain itu, Quarters juga menjalinkan usaha sama dengan Rise9, sebuah komuniti yang paling berpengaruh dengan jumlah pengikut lebih daripada 7 juta!

Tambahan daripada itu, pelancaran tersebut turut menarik perhatian seorang pencipta permainan video, Chriss Cross yang kini menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah Quarters.

Hakikatnya, syarikat yang diasaskan itu mendapat sokongan penuh daripada bapanya yang merupakan seorang graduan Sains Komputer dan memegang gelaran doktor falsafah dalam bidang komunikasi dari Standford. Kini, Mike Weiksner memainkan peranan sebagai pengasas bersama dan menguruskan perjalanan syarikat berkenaan.

Quarters semakin berkembang dan merancang untuk meluaskan lagi empayarnya ke peringkat antarabangsa. Oleh itu, mereka mula mengadakan perbincangan dengan beberapa buah syarikat besar di China yang berminat terhadap matawang kripto tersebut. Hasilnya, salah satu syarikat ketiga terbesar di negara berkenaan telah bersetuju untuk menggunakan Quarters dalam sistem permainan video mereka.

Bukan itu sahaja! Mereka juga cuba untuk menembusi platform permainan video terkemuka seperti Fortnite.

Meskipun sibuk menjalankan perniagaannya, George tidak pernah mengabaikan pelajarannya. Oleh yang demikian, beliau akan membuat pembahagian masa dengan baik dengan menyiapkan kerja sekolahnya mengikut masa yang ditetapkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat