Kaunter Ini Lonjak Semula Selepas PKP 2.0 Dilaksanakan

369

Saham syarikat pengeluar sarung tangan melonjak semula pagi ini susulan pertambahan minat belian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di 6 lagi buah negeri di Malaysia selepas bilangan kes positif Covid-19 menunjukkan peningkatan.

Harga saham Top Glove Corp Bhd, melonjak sebanyak 2.45% atau 15 sen kepada RM6.28, sebelum mencecah paras RM6.21 dengan 7.82 juta saham bertukar tangan pada pukul 11 pagi tadi.

Saham Top Glove menunjukkan peningkatan semula selepas menyusut selama dua hari berturut-turut susulan berita pekerja syarikat di empat buah kilang di Port Dickson, Sungai Puloh, Kulim dan Shah Alam disahkan positif Covid-19 pada Sabtu lalu.

Pada masa yang sama, saham Supermax Corp Bhd yang turut menurun selama dua hari berturut-turut kepada RM6.34 semalam berbanding RM6.70 pada 15 Januari lalu, melonjak semula kepada RM6.38 selepas sebanyak 7.61 juta saham diniagakan.

Selain itu, Kossan Rubber Industries Bhd turut mengikut ‘jejak langkah’ Top Glove dan Supermax selepas berdepan penyusutan selama lima hari berturut-turut, daripada RM4.56 pada 12 Januari kepada RM4.07 semalam, apabila sahamnya melonjak 0.74% atau 3 sen kepada RM4.10.

Minat belian turut dirasai oleh Hartalega Holdings Bhd apabila harga sahamnya meningkat sebanyak 0.16% atau 2 sen kepada RM12.22, selepas melonjak 2.13% atau 26 sen kepada RM12.40 pada sesi dagangan awal pagi.

Semalam RHB Investment Bank Bhd mengunjurkan pendapatan Hartalega Holdings Bhd mencapai rekod tertinggi pada suku kewangan ketiga (Q3) berakhir 31 Disember 2020, melonjak 643% tahun ke tahun kepada RM900 juta.

Bank pelaburan seperti dipetik oleh Bernama sebagai berkata, pertumbuhan itu akan didorong oleh kenaikan purata harga jualan (ASP) suku ke suku sebanyak 50% kepada AS$50 (RM202.25) setiap kotak 1,000 keping sarung tangan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat