Kaunter Ini Paling Aktif Didagangkan!

330

Saham dan waran Dagang NeXchange Bhd (DNeX) meningkat serta menjadi sekuriti yang paling aktif didagangkan pada sesi urus niaga Bursa Malaysia pagi ini susulan laporan Hon Hai Precision Industry Co Ltd telah membeli 120 juta saham atau 5.03% kepentingan dalam syarikat terbabit dengan harga RM108 juta.

Pada pukul 10.18 pagi, saham DNeX melonjak tiga sen atau 3.51% kepada 88.5 sen manakala waran syarikat itu menokok 3.5 sen atau 11.48% kepada 34 sen.

Saham dan waran DNeX menyaksikan kira-kira 214 juta serta 101 juta sekuriti diniagakan.

Harga saham DNeX pada paras 88.5 sen menjadikan permodalan pasaran syarikat itu bernilai kira-kira RM2.11 bilion.

Menurut makluman DNeX kepada Bursa Malaysia kelmarin, syarikat itu memiliki 2.38 bilion saham terbitan berikutan penukaran waran firma berkenaan kepada 924,800 saham baharu dalam DNeX.

Beberapa laporan berita yang memetik makluman Taiwan Stock Exchange, mengatakan Hon Hai atau dikenali sebagai Foxconn Technology Group di peringkat global, telah membeli saham DNeX menerusi subsidiarinya di Singapura iaitu Foxconn Singapore Pte Ltd.

“Hon Hai membeli saham DNeX daripada tiga pemegang saham utama iaitu 22.64 juta saham daripada Annedjma Capital Sdn Bhd dengan harga RM20.38 juta; 96.36 juta saham daripada Azman Karim dengan harga RM86.72 juta dan satu juta saham daripada Arcadia Acres Sdn Bhd dengan harga RM900,000,” ujar laporan The Edge.

Wujud spekulasi bahawa pemilikan saham DNeX sebanyak 5.03% itu akan membuka jalan buat Hon Hai untuk memperoleh pegangan saham dalam syarikat pengeluar semikonduktor, SilTerra Malaysia Sdn Bhd.

DNeX mempunyai 60% kepentingan dalam SilTerra dan beberapa sumber mengatakan Hon Hai hanya berminat dengan saham SilTerra.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat