Kaunter Petronas Gas Antara Yang Paling Rugi Didagangkan Hari Ini

302

‘Patutlah budak-budak landyard tak senang duduk pagi tadi.’

Laporan keuntungan bersih Petronas Gas Bhd (PetGas) bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2022 (1QFY22) dilihat menurun 20.5% kepada RM410.58 juta daripada RM516.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Menambah luka, kaunter tersebut didagangkan antara kaunter paling rugi semasa sesi awal di Bursa Malaysia pada 20 Mei, Jumaat.

Ketika dagangan pagi tadi, saham PetGas dibuka rendah 28 sen atau 1.61% pada RM17.08 sebelum mencapai paras serendah RM16.92.

Setakat tengah hari tadi, saham PetGas didagangkan merah 2.76% pada RM16.88 dengan nilai pasaran sebanyak RM33.40 bilion.

Menyingkap laporan yang diterbitkan pada Khamis, 19 Mei, keuntungan bersih 1QFY22 PetGas menyusut kerana faktor harga bahan api yang tinggi disamping peningkatan kos dalam segmen pemprosesan gas, pengangkutan gas dan pengegasan semula.

Sungguhpun begitu, hasil suku tahunannya meningkat 8.8% pada RM1.46 bilion berbanding RM1.34 bilion semasa 1QFY21.

Menurut laporan, pertumbuhan pada hasil suku tahunan tersebut adalah sebabkan peningkatan dalam penjualan segmen utiliti seperti harga produk yang meningkat dan jumlah jualan elektrik yang mencanak.

Dalam pada itu, PetGas turut mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 16 sen sesaham bertarikh akhir 3 Jun yang akan dibayar pada 16 Jun kelak.

Terang syarikat dalam pemfailan bursa, kadar cukai berkesan yang lebih tinggi dengan pengenaan Cukai Kemakmuran bagi tahun taksiran 2022 turut menyumbang kepada keuntungan bersih yang lebih rendah.

Kendatipun itu, MIDF Research dilihat mengekalkan status ‘beli‘ buat PetGas dengan sasaran harga (TP) RM17.90 kerana prospek positif syarikat berdasarkan pendapatan dan aliran pendapatan yang baik.

Tambah syarikat penyelidikan itu, segmen perniagaan pengangkutan gas dan pengegasan semula PetGas dijangka akan terus menyumbang pendapatan positif di bawah tarif Tempoh Kawal Selia 1(RP1), yang berkuatkuasa hingga akhir tahun.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat