KDNK 2021 Di Paras 6% Lebih Rendah Berbanding Unjuran

192

Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Hwang Capital) menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah pada 6% pada 2021, lebih rendah berbanding unjuran rasmi Kementerian Kewangan (MoF) iaitu antara 6.5% dan 7.5%.

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu percaya bahawa ketidakpastian mengenai perkembangan pandemik Covid-19 akan terus menjadi risiko penurunan kepada unjuran pertumbuhan.

“Sekiranya kes di seluruh dunia terus meningkat dengan kemungkinan memperkenalkan semula langkah-langkah pembendungan, tiada pasaran pesat membangun termasuk Malaysia akan terkecuali daripada menerima impak negatif ini, terutamanya apabila pertumbuhan ekonomi global terjejas akibat gangguan rantaian bekalan global susulan penularan ini,” katanya seperti dipetik oleh Bernama.

Affin Hwang Capital berkata, unjuran pertumbuhan KDNK oleh MoF itu adalah berdasarkan andaian yang wajar bagi 2021 dengan harga minyak mentah Brent kira-kira AS$42 setong tahun depan berbanding AS$40 setong pada 2020, serta unjuran pertumbuhan KNDK global sebanyak 5.2% .

Inflasi keseluruhan negara diunjurkan meningkat lebih tinggi kepada 2.5% pada 2021 dengan sasaran defisit belanjawan -5.4% daripada KDNK.

Affin Hwang Capital turut mengandaikan bahawa risiko penurunan adalah kepada pertumbuhan pelaburan swasta yang lebih rendah memandangkan ia mempunyai kaitan tinggi dengan keadaan luaran yang tidak menentu.

Katanya, berikutan pelabur asing turut berdepan cabaran yang serupa akibat penularan Covid-19 di negara asal mereka, wujud risiko kelewatan atau penangguhan dalam pelaksanaan pelaburan mereka.

“Ini turut menjelaskan mengenai cadangan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dengan tumpuan kepada projek berkaitan infrastruktur dan pembinaan dengan impak pengganda yang tinggi untuk menyokong ekonomi domestik dan jumlah pertumbuhan pelaburan negara pada 2021,” kata Affin Hwang Capital.

Katanya, sebanyak RM67.3 bilion daripada peruntukan RM69 bilion itu adalah berbentuk peruntukan langsung manakala baki RM1.7 bilion untuk kerajaan negeri dan entiti berkaitan kerajaan.

Menurut bank itu, menerusi Belanjawan 2021, kerajaan telah meningkatkan Dana Covid-19 sebanyak RM20 bilion kepada RM65 bilion untuk pelaksanaan program dan projek di bawah pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan.

“Katakanlah kita memasukkan tambahan RM20 bilion untuk Dana Covid-19 , defisit belanjawan kerajaan Persekutuan berpotensi kepada kira-kira -6.7% daripada unjuran KDNK bagi 2021,” kata Affin Hwang Capital.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat