Kecewa Dengan Laporan Pekerjaan NFP – Ini Yang Berlaku Pada Dagangan USD!

442

Dagangan awal minggu dimulakan dengan US dolar yang diniagakan kukuh berbanding yen, disokong oleh keyakinan terhadap perjanjian fasa 1 selepas susut dari paras tertinggi empat minggu, dikecewakan oleh laporan pekerjaan NFP A.S yang lemah daripada jangkaan.

Pada bulan Disember, NFP A.S mencatat pertumbuhan perlahan dengan hanya menambah 145,000 pekerjaan berbanding dijangkakan sebanyak 162,000, dan jauh tersasar daripada bacaan terbesar yang dicatatkan pada bulan November sebanyak 256,000 pekerjaan.

Bagaimanapun, laporan ini dilihat tidak akan membuat Federal Reserve berganjak daripada pendirian mereka terhadap kadar faedah semasa.

Harapan pelabur untuk melihat pemulihan dalam pertumbuhan global semakin meningkat menjelang beberapa hari sahaja lagi perjanjian fasa 1 AS-China akan ditandatangani di White House.

Sentimen optimis turut mempengaruhi matawang sensitif perdagangan iaitu dolar Aussie dan New Zealand yang kembali menunjukkan peningkatan pada dagangan awal minggu, meskipun pergerakannya agak terbatas disebabkan pelabur masih berhati-hati ekoran butiran perjanjian fasa 1 yang masih belum jelas.

Pada Jumaat, Amerika Syarikat telah mengumumkan pengenaan lebih banyak sekatan ke atas Iran susulan serangan balas peluru berpandu terhadap tentera A.S di Iraq, serta berjanji akan terus memberi tekanan kepada ekonomi negara itu jika Tehran terus terlibat dengan tindakan keganasan.

Sementara itu, susulan daripada data pekerjaan Kanada yang lebih baik daripada jangkaan, dolar Kanada diniagakan meningkat berbanding USD. Statistik Kanada melaporkan kadar pengangguran di negara itu jatuh kepada 5.6% pada bulan Disember daripada 5.9% dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Mengikuti perkembangan di Eropah, kelemahan matawang pound sterling masih dibayangi oleh ucapan Gabenor Bank Pusat England (BOE) yang memberi isyarat untuk pemotongan kadar faedah. Sentimen bertambah buruk ekoran kenyataan penggubal dasar BOE, Silvana Tenreyro yang turut menyokong langkah pelonggaran jika pertumbuhan ekonomi perlahan.

Dolar euro pula diniagakan meningkat berbanding USD, disokong oleh kelemahan data pekerjaan NFP A.S yang telah membataskan pengukuhan US dolar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat