Pasaran mata wang telah digemparkan oleh kenyataan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell yang mengatakan bank pusat akan membincangkan untuk mempercepatkan pengurangan pembelian pembelian bon pada mesyuarat polisi Disember.
Sejurus selepas itu, mata wang gergasi US dolar melonjak tinggi dengan harapan bahawa sebaik sahaja program tersebut berakhir, bank pusat mungkin akan menaikkan kadar faedahnya.
Ketika penulisan, indeks dolar diniagakan meningkat pada 96.03 berbanding pesaing utamanya, susut sedikit dari paras tertinggi yang dicapai pada sesi sebelum ini pada 96.64.
Bukan itu sahaja, Powell juga menyatakan kebimbangannya terhadap risiko inflasi yang semakin meningkat. Varian coronavirus Omicron yang baru ditemui, dikatakan bakal menyebabkan tekanan risiko inflasi bertahan lebih lama.
Powell yang memberi keterangan di hadapan Kongress pada sesi New York sebelum ini, mengatakan beliau berpendapat bahawa penurunan kadar pembelian bon bulanan boleh bergerak lebih cepat daripada jadual asal untuk pengurangan $15 bilion sebulan yang diumumkan bulan ini.
Susulan itu juga, mata wang utama yang lain menjunam dengan ketara pada sesi sebelum ini berikutan pengukuhan US dolar.
Matawang pound terjun ke paras terendah terbaru tahun ini, membawanya didagangkan di bawah paras harga 1.3300 pada sesi Asia hari ini. Euro pula susut ke tahap paling rendah sejak Julai 2020.