Kelemahan Prospek Permintaan Pacu Harga Minyak Lebih Rendah

141

Dagangan komoditi hitam terus di bawah tekanan, memanjangkan penurunan dari sesi sebelum ini setelah peningkatan inventori petrol AS menunjukkan prospek permintaan bahan bakar yang semakin merosot.

Niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan susut pada $41.55 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula diniagakan rendah pada $39.75 setong.

Walaupun data yang diterbitkan oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) menunjukkan penurunan dalam inventori minyak mentah AS, namun bekalan petrol tanpa dijangka telah meningkat dengan ketara sebanyak 1.9 juta tong pada minggu lepas berbanding jangkaan penurunan 1.8 juta tong.

Sementara itu, inventori minyak mentah pula dilaporkan menurun sebanyak 1.001 juta tong, sedikit lebih rendah daripada jangkaan pasaran untuk pengurangan 1.021 juta tong pada minggu lalu.

Kekhuatiran pasaran terhadap pemulihan permintaan bahan bakar terus menekan dagangan komoditi hitam berikutan peningkatan jumlah jangkitan coronavirus yang berterusan di seluruh dunia sehingga memaksa beberapa negara mengenakan sekatan baru, terutamanya di UK, Perancis, Belanda dan Itali.

Selain itu, harapan terhadap rangsangan fiskal AS untuk dipersetujui sebelum pilihan raya presiden yang kembali pudar turut menekan harga minyak lebih rendah pada sesi dagangan hari ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat