Kembali Hangat, BOE ‘Risik’ Kesediaan Bank Untuk Kadar Negatif

211

Bank of England (BOE) dilaporkan telah meminta maklumat daripada institusi-institusi kewangan mengenai kesediaan mereka terhadap perlaksanaan kadar faedah negatif.

Dalam surat yang diutuskan kepada bank, Timbalan Gabenor, Sam Woods telah meminta maklumat khusus tentang kesediaan firma untuk berurusan dengan kadar faedah di bawah sifar tanpa menjejaskan perniagaan mereka dan bagaimana ia bersedia untuk mengimplementasikan perlaksanaan ini.

BOE dan pemberi pinjaman harus memahami implikasi daripada mana-mana langkah yang bakal diambil, kerana ahli Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mungkin perlu mengambil beberapa pilihan berdasarkan situasi semasa.

Tambahan daripada itu, Woods juga mengatakan bahawa beliau ingin tahu adakah ada cabaran teknologi untuk menerapkan kadar sifar atau negatif.

Bank pusat menetapkan tarikh akhir 12 November iaitu seminggu selepas pengumuman dasar monetari berikutnya untuk institusi-institusi kewangan ini memberi tindak balas.

Pada minggu lepas, para pelabur menolak kemungkinan bahawa BOE akan memotong kadar faedah di bawah sifar dalam masa terdekat ini, di mana ia dijangka akan dilaksanakan pada Mei 2021.

BOE telah menurunkan kadar faedahnya ke paras terendah 0.1% pada Mac untuk menyokong ekonomi dalam menghadapi krisis coronavirus. Langkah seterusnya dijangka akan menyaksikan peningkatan dalam program pembelian bon pada November.

Matawang pound kekal didagangkan mengukuh di atas paras harga 1.3000 berbanding US dolar walaupun menghadapi tekanan daripada ketidakpastian dalam rundingan perdagangan Brexit dan langkah sekatan baru yang bakal diumumkan hari ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat