Kemelesetan ‘Kirim Salam’ Tatkala Aktiviti Perniagaan Dunia Merosot

1,139

‘Rintihan demi rintihan terus mengaburi sentimen pasaran, namun apakan daya.’

Impak kenaikan harga dan perang di Ukraine mencetus kelumpuhan aktiviti ekonomi di seluruh dunia sehingga ‘mengetuk pintu’ kemelesetan.

Perkara tersebut dapat dirasai merentasi pasaran dari Amerika Syarikat (AS) ke Eropah sehingga Asia apabila aktiviti perniagaan menurun dengan kebanyakan sektor mengunjurkan prospek kelam.

Situasi ekonomi AS difahamkan mengalami pengecutan aktiviti perniagaan yang paling ketara pada Ogos apabila angkanya menurun ke paras terendah sejak Mei 2022.

Data pengilangan dan penyedia perkhidmatan memperlihatkan permintaan semakin melemah ekoran faktor kenaikan kadar faedah dan inflasi membebankan pengguna.

Tidak kurang bezanya di Eropah, sektor pembuatan merintis kejatuhan namun ia ditampung oleh lantunan pada sektor perkhidmatan selepas sekatan (lockdown) ditamatkan.

Sungguhpun indeks pengurusan pembelian United Kingdom (UK) kekal di atas paras 50 mata, pemisahan pengembangan daripada penguncupan, ia telah mencatat kejatuhan ketara yang tidak dijangka dalam aktiviti perkilangan.

Menyingkap jendela rantau Asia, pengeluaran Jepun mengalami penyusutan dengan kes melibatkan Covid-19 mencanak semula dan ia secara tidak langsung menambah tekanan terhadap permintaan yang sememangnya sedang bergelut dengan inflasi.

Berdasarkan input-input tersebut, Pacific Investment Management Co memberi gambaran ekonomi akan terus suram apabila kebanyakan bank pusat masih menumpukan tindakan mengawal inflasi dengan meningkatkan kos pinjaman.

Ia juga disokong Andrew Harker dari S&P Global dengan mengatakan wilayah Eropah memperlihatkan penguncupan pada suku ke-3 (Q3) yang merentasi sektor, seterusnya melemahkan aktiviti ekonomi secara keseluruhan.

Ijmalnya, berlatarbelakangkan inflasi yang tinggi dan kelembapan ekonomi global yang ketara, bank pusat perlu memainkan peranan penting dalam melaksanakan tindakan terbaik bagi memastikan pemulihan ekonomi dunia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat