Kenanga Money: E-Wallet Broker Saham Pertama Di Malaysia

1,162

Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) hari ini mengumumkan kerjasamanya dengan Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) dalam memperkenalkan e-dompet broker saham pertama di negara ini iaitu Kenanga Money, yang akan menyokong ciri kad prabayar Visa.

Menurut Kenanga, pengenalan ini menandakan kemasukan bank tersebut ke dalam arena pembayaran tanpa tunai sebagai sebahagian daripada perjalanan digitalisasi mereka yang berterusan.

Kemudahan tersebut membolehkan pengguna memindahkan dana daripada akaun dagangan saham mereka ke e-dompet dan kad prabayar dengan mudah untuk tujuan pembayaran runcit, pengiriman dan pengeluaran wang di seluruh dunia.

Pengguna juga akan menikmati kemudahan fungsi pelbagai mata wang yang membolehkan mereka membeli, menjual dan menyimpan sehingga 20 mata wang asing pada bola-bila masa, dengan kadar pertukaran mengikut Merchantrade.

Ujar Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Chay Wai Leong, dengan hampir 300,000 pemegang akaun Kenanga, usaha digitalisasi firma ini memfokuskan pada peningkatan ekosistem untuk menghasilkan nilai tambah baharu buat pelanggan.

“Kenanga Money bakal melengkapkan perancangan rangkaian penyelesaian digital kami semakin membangun, mensasarkan pada penyediaan sebuah persekitaran bersepadu, lancar dan merangkumi pelbagai aspek untuk menampung capaian pelanggan kami yang kian meningkat,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K. Veeran berkata, pihaknya sering mencari peluang baharu dengan bekerjasama dengan rakan kongsi yang tepat, bagi memperluaskan perkhidmatan mereka ke pasaran lebih luas menerusi teknologi dan penyelesaian unik Merchantrade.

“Kami juga teruja bekerjasama dengan Kenanga Investment Bank Berhad. Kami yakin Kenanga Money akan membawa perubahan kepada industri broker saham dan akan diterima baik oleh pengguna digital di negara ini,” ujar Ramasamy.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat