Kenapa Artis Malaysia Perlu Tahu Tentang NFT?

1,169

NFT atau ‘non-fungible token’ merupakan fenomena mata wang kripto yang tengah hangat ketika ini.

Kalau anda cakna mengenai mata wang kripto seperti Bitcoin, Ethereum dan sebagainya, anda mesti mengetahui teknologi blockchain yang digunakan untuk merekodkan serta menyimpan transaksi digital.

Teknologi tersebut selamat dan melindungi privasi kerana bebas daripada pihak ketiga serta kita mempunyai autoriti mutlak ke atas segala urusan transaksi kita. Contohnya sistem mata wang fiat yang diuruskan oleh bank.

Disebabkan itu, ramai yang mula beralih untuk melabur dalam mata wang kripto kerana percaya teknologi terbabit boleh menggantikan mata wang kertas yang kita guna sekarang.

Teknologi blockchain juga bukan sahaja terhad kepada sistem kewangan. Berasaskan teknologi yang sama, blockchain membolehkan kita membeli dan menjual karya seni digital seperti lukisan, lagu, video dan barangan dalam permainan video. Inilah yang disebut sebagai NFT.

NFT adalah token digital yang tidak boleh ditukar milik, unik dan eksklusif untuk pemiliknya sahaja. Christoe atau nama artisnya iaitu Beeple berjaya menjual karya NFT miliknya iaitu gambar kolaj yang dikenali sebagai Everydays: The First 5000 Days dengan harga setinggi AS$69.3 juta.

Peristiwa itu menyebabkan NFT mula menjadi popular di seantero dunia. Malahan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter, Jack Dorsey turut menjual ‘screenshot’ tweet pertamanya dalam bentuk NFT dengan nilai AS$2.9 juta kepada seorang hartawan Malaysia.

Meme Nyan Cat yang sering dikongsi di media sosial oleh orang ramai juga terjual dengan harga AS$580,000.

Dalam istilah yang paling mudah, NFT mengubah karya seni menjadi aset yang dapat disahihkan keasliannya dan mudah diperdagangkan di blockchain.

Idea berkenaan melonjak menjadi popular sejak kebelakangan ini berdasarkan peningkatan teknologi mata wang kripto serta keinginan para seniman digital untuk memiliki pemilikan tersendiri dan pada masa yang sama boleh mendatangkan keuntungan.

Sebagai contoh, meme. Semua orang boleh ‘screenshot’ meme yang sama tetapi NFT membolehkan orang ramai mengetahui siapakah pemilik sebenar meme berkenaan.

NFT juga menyelesaikan masalah ‘karya ciplak’. NFT mempunyai sistem ‘coding’ yang tertera dalam ekosistem blockchain dan memudahkan orang lain untuk memeriksa rekod pemilikan bagi sesuatu NFT itu.

Para artis juga akan mendapat hak seni mereka tanpa melalui orang ketiga. Royalti juga dapat disalurkan kepada pengkarya terbabit. Seperti yang kita sedia maklum, banyak kes penulis novel atau selebriti yang tidak mendapat royalti mereka sehingga terpaksa menagih bantuan daripada pihak-pihak terbabit. NFT boleh menyelesaikan masalah itu dengan mudah dan artis juga dapat berkarya dengan senang hati.

Mengapa harga sesebuah seni itu boleh mencecah sehingga jutaan dolar? Seperti semua aset dalam dunia, sesuatu benda itu boleh menjadi sangat bernilai disebabkan faktor permintaan dan penawaran. Apabila ramai orang ingin membeli sesuatu barangan itu, maka semakin mahallah barangan terbabit.

Mungkin ramai yang fikir, buat apa ingin memiliki gambar, meme atau karya NFT? Jawapannya adalah sama mengapa orang sanggup membeli ikan laga atau baju Supreme sehingga beribu-ribu Ringgit Malaysia. Manusia sanggup membeli pada harga berkenaan bagi menunjukkan status dan menjualnya balik sebagai satu bentuk pelaburan.

NFT bukan baru wujud. Pada tahun 2017, syarikat bernama Dapper Labs menjual kartun kucing digital unik yang dikenali sebagai CryptoKitties.

Permainan terbabit diperdagangkan di blockchain Ethereum dan menjadi sangat popular pada 2017. Permainan itu seumpama anda membeli Digimon dalam Digivice suatu ketika dahulu. Pelbagai jenis kucing turut ditawarkan dan anda boleh menjual semula kucing tersebut.

NFT juga sedang dikembangkan dalam dunia nyata. Nike turut menggunakan paten teknologi yang membolehkan sistem blockchain untuk mengesahkan produk yang asli dan tulen. Nike menggunakan sistem NFT yang dipanggil sebagai CyptoKicks.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat