Kenapa AS Suka Berperang Sangat Dengan China?

374

Isu perbalahan antara Amerika Syarikat (AS) dan China sentiasa hangat dibincangkan kerana memberi impak yang sangat besar dalam persekitaran ekonomi dunia.

Mari kita imbas kembali bagaimana perang perdagangan antara AS dan China bermula.

Kisahnya bermula apabila Donald Trump menjadi Presiden AS, menggantikan Barack Obama. Beliau mula mengkaji semua perjanjian lama AS dengan negara-negara lain.

Trump mendakwa banyak perjanjian yang tidak memberi keuntungan terhadap AS dan berat sebelah. Antaranya adalah beliau tidak berpuas hati kerana barangan import China ke AS melebihi AS$375 bilion pada 2017, berbanding eksport AS ke China.

Seperti kita tahu, Trump merupakan seorang ahli perniagaan dan sudah tentulah beliau mengutamakan soal keuntungan. Sebelum menjadi Presiden, Trump terlibat dalam bisnes hartanah dan pernah tersenarai sebagai orang yang ke-766 terkaya di dunia.

Pada tahun 2018, AS mula melancarkan serangan tarif iaitu cukai yang dikenakan ke atas barangan import China. Selepas itu, dua negara tersebut mula ‘berbalas’ serangan tarif.

Pada Disember 2018, kedua-dua negara bersetuju untuk melakukan ‘gencatan senjata’ selama 90 hari untuk mencari jalan penyelesaian.

Tahun lalu, ketika kedua-dua negara mula hendak berdamai, AS tiba-tiba menaikkan lagi tarif terhadap China bernilai AS$200 bilion. Tindakan itu menyebabkan China bertindak balas dengan turut menaikkan tarif ke atas AS sebanyak AS$60 bilion.

Perbalahan ini berterusan sehingga Januari tahun ini sewaktu kedua-dua negara menandatangani perjanjian perdagangan fasa 1.

Mengapa perang perdagangan AS-China ini memberi kesan kepada seluruh dunia? Kedua-dua negara merupakan negara ekonomi terbesar di dunia.

Kedua-dua negara berkenaan turut mempunyai rangkaian perniagaan dengan negara-negara lain di seluruh dunia. Apabila kedua-dua negara ini mencetuskan masalah, seluruh dunia turut terkesan khususnya rantaian bekalan global.

Pasaran global akan berisiko dan banyak sektor turut terjejas terutamanya pertanian dan teknologi, sekali gus menyebabkan pelabur akan jadi takut untuk melabur.

Bukan sahaja perang tarif, pelbagai isu lain turut timbul antaranya dakwaan AS terhadap China berhubung virus Covid-19, isu Huawei, TikTok dan banyak lagi.

Namun jika dibandingkan sejak 2018 lalu, ketegangan antara AS dan China tidak seteruk dahulu. China sudah mula bertolak ansur dengan bersetuju dengan permintaan Trump seperti pembelian produk pertanian dari AS oleh China.

Trump dilihat mendesak China untuk meningkatkan pembelian produk pertanian dari AS seperti kacadang soya dan sebagainya kerana beliau ingin membela golongan petani di AS.

Golongan petani merupakan penyokong kuat Trump sewaktu pilihan raya Presiden 2016. Oleh itu, Trump mahu membalas budi mereka selain mahu meraih sokongan kuat daripada golongan berkenaan pada pilihan raya akan datang.

Selain China, banyak lagi perjanjian perdagangan dengan negara-negara yang dirombak semula seperti Jepun dan negara-negara Eropah. Contohnya Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang melibatkan AS, Mexico dan Kanada yang diperbaharui semula menjadi Perjanjian Amerika-Mexico-Kanada (USMCA).

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat