Kenapa Dengan Bursa Malaysia Hari Ini?

1,955

Bursa Malaysia susut daripada peningkatan selama empat hari berturut-turut apabila dibuka rendah dalam dagangan awal hari ini didorong oleh aktiviti pengambilan untung walaupun pasaran Wall Street menyaksikan Dow Jones mencecah paras tertinggi pada akhir dagangan semalamannya.

Menurut peniaga, ini susulan laporan bahawa indeks harga pengguna Amerika Syarikat (AS) meningkat sebanyak 0.4% pada bulan lalu, sekali gus turut meredakan kebimbangan mengenai inflasi.

Pada 9.07 pagi, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.64 mata kepada 1,634.19 daripada 1,639.83 pada akhir dagangan semalam.

Lapor Bernama, sewaktu dibuka, indeks itu berkurangan 3.10 mata kepada 1636.73.

Namun, di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 343 berbanding 199 manakala 347 kaunter lain tidak berubah, 1,314 tidak diniagakan manakala 17 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 624.48 juta unit bernilai RM279.89 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya, menjangkakan minat belian terus ketara di pasaran tempatan dan FBM KLCI mungkin meneruskan aliran peningkatannya berikutan prestasi di Wall Street.

Menurutnya, susulan kes harian Covid-19 yang kekal di bawah paras 2,000 setakat ini, kalangan penggiat pasaran berkemungkinan memilih untuk melihat lebih banyak pembukaan semula aktiviti perniagaan, termasuk aktiviti pelancongan domestik yang dijangka memacu sektor pelancongan pada masa ini.

Bagaimanapun, sektor teknologi dijangka tidak banyak berubah apabila pasaran Nasdaq mengalami penurunan.

Mengulas prestasi komoditi, Malacca Securities memaklumkan harga minyak sawit mentah (MSM) telah mencecah paras lebih tinggi kepada RM3,974 satu tan manakala minyak mentah Brent turut mencatat peningkatan.

“Kami percaya sektor yang pulih seperti pengguna, permainan, pembinaan, pengangkutan serta saham berkaitan lebuh raya akan meningkat dalam tempoh terdekat.

“Selain itu, sektor perladangan, minyak dan gas juga akan meneruskan aliran peningkatan yang sejajar dengan pengukuhan harga MSM dan minyak mentah Brent,” ujarnya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik tiga sen kepada RM8.57, Petronas Chemicals meraih satu sen kepada RM8.18 dan Tenaga untung lapan sen kepada RM10.80.

Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM4.32 dan RM5.29.

Bagi saham aktif, Vizione Holdings meningkat 3.5 sen kepada 34 sen, warannya naik tiga sen kepada 14 sen manakala Widad menokok 3.5 sen kepada 52 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 18.40 mata kepada 11,934.04, Indeks FBMT 100 merosot 22.32 mata kepada 11,628.28 dan FBM ACE berkurangan 10.61 mata kepada 10,341.81.

Indeks FBM Emas Syariah naik 9.77 mata lebih kepada 13,190.80 manakala FBM 70 menokok 10.20 mata kepada 15,578.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 89.56 mata kepada 15,745.98, Indeks Perladangan susut 6.01 mata kepada 7,176.12 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.10 mata kepada 190.20.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat